Ini Sebab Kenapa Anda Patut Berhenti Tonton Video 'Speed Test' Telefon Pintar

Di internet terutamanya YouTube, kita boleh melihat  terdapat banyak video yang membandingkan 2 telefon untuk menguji kepantasan mereka melalui apa yang dipanggil sebagai "speed test".

Menerusi "speed test" ini, apa yang lazim dilakukan adalah telefon akan diuji dengan membuka pelbagai aplikasi. Jam randik akan digunakan sebagai metrik untuk melihat telefon yang manakah lebih pantas membuka aplikasi-aplikasi yang diiuji.

Kapsyen: Speed test / Phonebuff


Telefon yang membuka aplikasi lebih pantas secara tidak langsung akan dinobatkan sebagai telefon lebih baik berbanding telefon yang perlahan.

Dari pandangan seorang pengguna biasa, tidak dinafikan perbandingan 'kelajuan' antara telefon merupakan sesuatu yang seronok. Ini adalah kerana ia diibaratkan seperti melihat sebuah perlumbaan siapakah yang paling awal mencapai garisan penamat.

Namun, terdapat beberapa pandangan dan hujah yang menyatakan bahawa 'speed test' ini sebenarnya tidak tepat dari segi metadologi dan tidak patut dijadikan sebagai ukur aras prestasi sesebuah telefon pintar.

Berikut adalah merupakan hujah yang dikemukakan yang mengatakan mengapa anda tidak patut menonton video 'speed test' dan menerimanya sebagai sebuah fakta berhubung kepantasan telefon pintar:

Speed test tidak menguji CPU/GPU


Apakah yang sebenarnya diuji dalam 'speed test'? Ramai yang menyangka pembukaan aplikasi dalam sebuah telefon pintar banyak melibat CPU. Lagi laju CPU, lagi pantas aplikasi akan dibuka.

Tetapi sebenarnya tidak. Untuk pembukaan atau memuatkan aplikasi untuk digunakan, aplikasi tersebut akan dipindahkan dari storan kepada memori (RAM).

Apa yang diuji sebenarnya adalah kelajuan memindahkan program dan aset-aset berkaitannya dari memori kepada RAM, bukannya CPU atau GPU.

Kelajuan ini turut bergantung kepada jenis storan dan jenis RAM yang digunakan seperti teknologi LPDDR atau UFS yang terkini.

Ujian membandingkan kelajuan memindahkan data ini adalah sesuatu yang sahih dan layak sebagai sebuah ujian perbandingan.

Namun, untuk memanggilnya sebagai 'speed test' yang dikatakan menguji kelajuan CPU/GPU adalah tidak tepat.

Wujudnya Pelbagai Pemboleh Ubah Manipulasi


Untuk mewujudkan satu persekitaran ujian yang adil, pelbagai pemboleh ubah manipulasi perlu dimalarkan.

'Speed test' walaupun kita sebagai pengguna biasa hanya melihat ujian semudah membuka aplikasi, namun disebalik apa yang berlaku adalah lebih kompleks.

Kapsyen: Gambar hiasan


Ketika memuatkan aplikasi, faktor lain yang terlindung tetapi perlu diambil kira adalah kadar penggunaan rangkaian atau internet.

Penguji mungkin boleh menguji telefon melalui penghala atau sumber internet yang sama, namun apa yang pasti adalah mereka tidak boleh mengawal bagaimana data/internet memasuki telefon ketika diuji.

Saat di antara telefon meminta dan menerima data untuk membuka Facebook (contohnya), terdapat banyak perkara tersembunyi yang tidak kelihatan pada mata kasar. Ia mempengaruhi kelajuan membuka Facebook dan ia bukanlah benda yang penguji boleh kawal sesukati hati sahaja menjadikan ujian tidak bersifat saintifik.

Seterusnya, ketika memuatkan aplikasi Facebook, kandungan yang dimuatkan antara kedua telefon tidak semestinya sama.

Untuk telefon A, mungkin ia memuatkan gambar JPEG namun untuk telefon B mungkin hanya sekadar tulisan sahaja.

Kandungan yang berbeza sudah tentu bermakna kedua-dua telefon menggunakan data dan memproses maklumat yang berbeza.

Apabila menguji telefon dengan kandungan yang berbeza, bukankah itu bermakna ia bukan ujian yang adil?

Bukaan Aplikasi Lebih Pantas Tidak Bermakna Ia Petanda Aras Prestasi Dan Kelajuan Telefon Lebih Bagus


Diberikan satu situasi, telefon A dan telefon B memuatkan permainan berat 3D.

Telefon A berjaya memuatkan permainan lebih pantas dari telefon B. Namun dalam sesi permainan telefon B lebih cantik dengan kualiti grafik dan visual yang lebih menggagumkan serta prestasi fps yang stabil.

Kapsyen: Gambar hiasan


Ini berbalik kepada argumen pertama di atas yang berkisahkan tentang proses pemindahan data dan aset dari storan ke RAM.

Boleh jadi telefon A tidak memuatkan aset dan grafik yang berkualiti tinggi, jadi itu yang menyebabkannya dapat dimuatkan dengan lebih pantas berbanding B.

Aplikasi Berbeza Antara Dua Sistem Operasi Berbeza


Ambil contoh aplikasi Instagram untuk aplikasi Android dan juga iOS. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama sebagai akses kepada media sosial dan mempunyai label "Instagram" yang sama.

Kapsyen: Gambar hiasan


Tetapi ini tidak bermaksud kedua-dua aplikasi adalah sama. Instagram di Android adalah berbeza dengan Instagram di iOS dengan kod berbeza, pengendalian memori berbeza dan lain-lain lagi.

Jika anda tidak bersetuju, hujah yang paling kukuh adalah penjelasan mengapa sesetengah fungsi hadir terlebih dahulu pada satu sistem operasi dan kemudiannya 2-3 bulan baru hadir untuk yang lagi satu.

Ia bukanlah aplikasi yang sama. Malah pasukan pembangun untuk setiap sistem operasi itu boleh jadi juga dari pasukan yang berbeza.

Ini juga belum mengambil faktor aplikasi yang lebih dioptimasikan untuk iOS berbanding Android seperti Snapchat dan kebanyakan aplikasi lain.

Refleks Kepada Penggunaan Sebenar


'Speed test' akan menguji sehingga 10 aplikasi malah ada yang lebih untuk dibuat perbandingan.

Jika dilihat dari penggunaan dunia sebenar, cara yang betul menggunakan aplikasi adalah membukanya dan kemudiannya melihat kandungan dan berinteraksi dengannya.

Kapsyen: Gambar hiasan


Bukannya buka satu aplikasi, kemudiannya buka aplikasi lain dan mengulanginya banyak kali.

Kita mungkin akan menggunakan sesuatu aplikasi lebih dari 1 minit, 10 minit atau lebih dari itu dan bukannya hanya sekadar buka tidak sampai 5 saat.

Apabila menggunakan aplikasi, sudah tentu ia bakal mempengaruhi elemen lain seperti pengurusan memori, haba telefon, cache aplikasi, dan yang paling utama adalah CPU/GPU yang digunakan kerana sedang memproses maklumat.

Perkara ini tidak terjadi dalam 'speed test' kerana aplikasi dibuka sekejap sahaja.

Jadi, untuk mendakwa 'speed test' merupakan ukur aras prestasi dan kelajuan telefon dalam dunia sebenar adalah tidak masuk akal.

Rumusan


'Speed test' seperti yang didakwa bukannya satu penanda dan fakta untuk mengatakan telefon A lebih pantas dari telefon B.

Jika anda mahu melihat perbandingan kelajuan antara dua jenis telefon, anda boleh merujuk perisian ukur aras seperti:

  • Geekbench (prestasi CPU)

  • AnTuTu (kelajuan cip pemprosesan, antaramuka, RAM)

  • 3DMark (prestasi grafik)

  • GFXBench (prestasi grafik)

  • Androbench (prestasi storan)

  • PCMark (prestasi berasaskan ujian penggunaan seharian)

  • Basemark GPU (prestasi grafik)


Sebagai konklusi, anda seharusnya tidak patut membuat keputusan pembelian berasaskan video 'speed test'.

Sebenarnya apa yang penting bukanlah kelajuan bukaan aplikasi, sepatutnya pengalaman menggunakan aplikasi. Hanya setakat sesuatu aplikasi dibuka 2 saat lebih pantas, ia tidak bermaksud pengalaman menggunakannya akan lebih baik berbanding telefon yang perlahan.

Rujukan:

  • 5 Reasons Why Smartphone "Speed Tests" Are Fundamentally Flawed (YouTube)

  • 5 Reasons Why Smartphone "Speed Tests" Are Fundamentally Flawed (Reddit)

  • Why Smartphone Speed Tests Don’t Tell You What You Think They Do (ExtremeTech)

Berkaitan