Ini Pendapat Kami Tentang Samsung Galaxy S9 Selepas 2 Minggu Kami Guna

Kehadiran Samsung Galaxy S9 ke pasaran mencetuskan buah mulut orang ramai. Ada juga yang mengatakan tidak banyak perbezaan yang dibawakan Galaxy S9 tahun ini menyebabkan ramai orang sangsi untuk bertukar ke Galaxy S9 tambah-tambah pengguna Galaxy S8 dan Note 8.

Kami berasa terpanggil untuk memberikan pendapat kami dengan lebih mendalam terhadap Galaxy S9. Sebelum ini Haikel Areff pernah mendakwa, padanya, Galaxy S9 dan S9+ adalah peranti yang terbaik pada ketika itu. Ini pula adalah pandangan kami selepas 2 minggu menggunakan peranti ini.

Rekaan Luaran



Sebaik kotak dibuka, rekaan Galaxy S9 terserlah dengan bingkainya yang nipis serta lengkungan skrin utama yang secara keseluruhan membuatkan peranti ini sangat selesa untuk dipegang dan kelihatan 'seksi' di pandangan mata kami. Ini juga merupakan pertama kali Samsung menggunakan warna unggu berkilau, Lilac Purple.



Samsung menggunakan kemasan kaca pada bahagian luar peranti dan membuatkan peranti ini kelihatan eksklusif. Pada masa yang sama, kerisauan tentang risiko terhentak peranti ini ke lantai atau objek keras memerlukan pengguna menggunakan casing dan pelindung skrin.

Kapsyen: Kedudukan pengimbas cap jari di bahagian bawah modul kamera


UI atau AntaraMuka 

Samsung menggunakan Samsung Experience sebagai UI mereka dan UI ini kelihatan lebih mirip kepada UI Android Asli (Pure Android) dan tidak seperti UI lain seperti MIUI dan EMUI yang lebih kearah iOS. Galaxy S9 di tangan saya menggunakan Samsung Experience versi 9.0 dan pengalaman menggunakannya adalah baik kerana Samsung menambah beberapa fungsi termasuk fungsi gestures yang kini boleh melakukan beberapa perkara di dalam telefon pintar ini.



Kelebihan UI yang mirip kepada Android Asli bagi kami kelihatan lebih 'bersih' dan tersusun. Anda juga boleh menyusun aplikasi kegemaran anda di laman selain laman home bagi memudahkan capaian ketika mahu menggunakannya.







Sistem Nyahkunci

Samsung memperkenalkan sistem nyahkunci menggunakan pengimbas iris pada peranti Note 7 mereka yang lepas dan Galaxy S9 tidak ketinggalan mendapat naik taraf tersebut. Pada masa yang sama, pengimbas cap jari turut disertakan dan pengguna mempunyai dua cara baru untuk menyahkunci peranti.

Pengimbas iris untuk Galaxy S9 lebih cepat memberi respon selepas diaktifkan berbanding sebelum ini. Namun kami mendapati pengguna perlu mengaktifkan terlebih dahulu paparan skrin sebelum peranti mengesan dan mengimbas mata pengguna, menyebabkan ianya agak menyulitkan

Untuk mereka yang berkaca mata pula, anda perlu menanggalkan cermin mata anda semasa mahu menggunakan pengimbas iris. Mungkin disini Samsung perlu menitik beratkan lagi fungsi pengimbas iris untuk menjadikannya satu fungsi yang lebih relevan untuk digunakan. Setakat ini, kami masih lagi akan terus kekal dengan pengimbas cap jari untuk menyah-aktifkan mana-mana peranti.

Samsung juga memperkenalkan fungsi imbasan pintar (intelligent scan) yang menggabungkan pengecaman melalui iris dan wajah menjadi satu. Samsung mempertaruhkan fungsi ini untuk memberi saingan kepada Face ID yang diperkenalkan oleh Apple melalui iPhone X.



Pengimbas cap jari pula boleh digunakan untuk menyahkunci peranti dan juga menurunkan notification shade tanpa perlu swipe di skrin paparan. Yes! pengimbas cap jari diubah ke bahagian bawah kamera tidak seperti sebelum ini. Sususan nampak lebih kemas.

Prestasi Kamera

Samsung menekankan tentang prestasi kamera Galaxy S9 dengan slogan The Camera. Reimagined. Untuk pengetahuan pembaca, Galaxy S9 merupakan peranti telefon pintar pertama di dunia yang menggunakan sistem kamera yang boleh diubah apperture secara fizikal. Tetapi hanya terdapat dua bukaan lensa yang dibenarkan di dalam mod Pro iaitu f/1.5 dan f/2.4.



Aperture membolehkan kamera menangkap cahaya pada bukaan lensa yang tertentu. Pada f/1.5, bukaan lensa paling besar ini membolehkan cahaya lebih banyak memasuki lensa kamera dan hasilnya gambar lebih terang walaupun berada di dalam keadaan kurang cahaya.

Aplikasi kamera juga diberikan nafas baru dengan pengguna perlu swipe ke kiri dan ke kanan untuk mengubah ke mod lain. Ada mod Food, Panorama, Pro, Selective Focus, Auto, AR Emoji, Hyperlapse. Kamera selfie 8MP f/1.7 juga hadir dengan ciri Selfie Focus, BOKEH.

Jika anda mempunyai teknik fotografi asas, anda boleh mengubah beberapa tentang mengenai shutter speed, ISO dan aperture bagi mendapatkan hasil gambar yang terbaik dari peranti ini.

Kapsyen: Aperture: f/2.4 Focal length: 4.30 mm Exposure time: 1/15s ISO: 100


Kapsyen: Aperture: f/1.5 Focal length 4.30 mm Exposure time: 1/15s ISO: 100


Di bawah pula merupakan beberapa lagi contoh gambar menggunakan peranti Galaxy S9:











 





Kualiti Audio

Galaxy S9 merupakan peranti utama dari Samsung yang menggunakan pembesar suara stereo. Bagi kami, keputusan Samsung untuk menambah pembesar suara stereo ke peranti utama mereka adalah tepat kerana bunyi yang dihasilkan  lebih realistik dan 'hidup'.



Samsung juga memberikan fon telinga AKG bersama-sama peranti ini di dalam kotak. Apabila kami mengujinya, hasilnya tidaklah sehebat yang kami sangkakan. Kami lebih teruja dengan pembesar suara stereonya dengan sentuhan Dolby Atmos.

Pengalaman Bermain Games

Tidak dinafikan telefon pintar masa kini semakin berkuasa untuk menyaingi kuasa grafik yang dihasilkan oleh kad grafik desktop. Kami mencuba dua jenis permainan yang sangat 'demanding' untuk menguji peranti ini.

Vainglory



PUBG Mobile



Kedua-dua game diatas ditetapkan grafiknya ke tahap paling tinggi dan perjalanan permainan sangat lancar dan tiada masalah 'lag' kecuali jika rangkaian data perlahan. Penggunaan bateri semasa bermain juga berada di tahap yang terbaik dan sebagai contoh: Ketika bermain PUBG Mobile dengan cas penuh, selepas 3 game penuh, bateri masih di tahap 65%. Cip Qualcomm Snapdragon 845 sangat membantu ketika berada di situasi yang memerlukan kuasa bateri yang banyak kerana cip terbaru dari Qualcomm ini menawarkan keberkesanan penggunaan bateri pada tahap optimum.



Samsung juga menyertakan fungsi lock pada bahagian butang home bagi mengelakkan pengguna secara tidak sengaja mengaktifkannya semasa dalam permainan.

Aplikasi Samsung

Pengguna Android seringkali mengeluh aplikasi tambahan dari pengeluar (OEM) yang dikatakan sebagai 'bloatware' yang tidak boleh dipadam dan memakan ruang memori ROM peranti.

Namun Samsung cuba memberikan nilai tambah kepada aplikasi mereka terutamanya Samsung Health, aplikasi kesihatan yang boleh digunakan untuk memantau tahap kesihatan penggunanya.



Pengguna boleh merekodkan jumlah gelas air kosong yang mereka minum pada setiap hari, berapa langkah yang diambil mereka pada sesuatu masa, dan mengira berapa denyut jantung mereka berdenyut untuk 1 minit. Namun tidak dapat dipastikan ketepatan hasil pengiraan tersebut adakah ia tepat atau tidak. Sekurang-kurangnya, pengguna boleh merancang aktiviti bersenam mereka dan boleh dijadikan rekod untuk doktor masing-masing apabila waktu lawatan nanti.



Faktor YEAYY

  • Sistem nyahkunci yang lebih responsif

  • Prestasi kamera dan video yang hebat pada kelas flagship

  • Ciri Aperture boleh ubah

  • Prestasi bateri yang sangat baik terutama dalam permainan

  • Pembesar suara 'stereo' ← ciri kesukaan Team Wiser

  • Rekaan luaran dan skrin yang memukau

  • Sistem operasi dan permainan yang lebih lancar dan pantas

  • Penambahbaikan dari segi aplikasi Samsung Health


Faktor EUWWW

  • Penggunaan casing sangat mustahak

  • Ciri augmented reality (AR) yang perlu ditingkatkan lagi


Kesimpulan

 

Galaxy S9 hadir memberi naik taraf kepada kebanyakkan peranti Android di luar sana yang berusia lebih dari 2 tahun. Ia peranti yang hebat secara keseluruhan tanpa memberi banyak masalah dalam penggunaan seharian. Dengan cip Snapdragon 845, prestasi peranti ini tidak perlu disangkal lagi dan memberikan nilai tambah kepada wang anda.