Ini Pandangan Kami Selepas Sehari Bersama Samsung Galaxy S10

Samsung Galaxy S10 telah diperkenalkan secara rasmi dalam acara Samsung Unpacked yang dilangsungkan di San Francisco baru-baru ini.

Selain Galaxy S10, Samsung turut memperkenalkan tiga lagi model lain iaitu Galaxy S10e, Galaxy S10+ dan Galaxy Fold.

Pihak Samsung Malaysia telah berbesar hati memberikan kami peluang untuk mencuba sendiri model Samsung Galaxy S10. Untuk pengetahuan anda, peranti ini ditawarkan pada harga RM3,299 di Malaysia.

Sebelum berkongsi dengan anda mengenai pengalaman saya selepas sehari menggunakan peranti ini, berikut adalah spesifikasi bagi Samsung Galaxy S10 kali ini:

  • Skrin Dynamic AMOLED 6.1-inci FHD+

  • Rekaan skrin tebuk dengan kamera hadapan dalam skrin

  • Kamera swafoto - 10MP

  • Kamera utama - 12MP + 12MP + 16MP 

  • Cip Samsung Exynos 9820

  • 6GB RAM/ 128GB ROM

  • One UI berlandaskan Android 9 Pie

  • Bateri 3,400mAh

  • Adaptive Fast Charging 15W


Okay, dah tahu spesifikasi, jom ikuti pandangan saya selepas seharian menggunakan peranti ini.

Bermain Permainan PUBG Mobile Dengan Cemerlang 

Sebaik menerima peranti tersebut, saya dapati bateri Galaxy S10 ini masih berbaki kira-kira 34%.

Untuk itu, saya terus memasang permainan PUBG Mobile dan memainkannya untuk menghabiskan bateri peranti terlebih dahulu.



Permainan PUBG Mobile dapat dimainkan dengan lancar tanpa masalah, seperti yang diharapkan pada peranti dengan cip kelas atasan terbaru.

Mula bermain pada bateri peranti 32%, ia mengambil masa kira-kira 55 minit untuk saya menghabiskan bateri.

Kemudian, berbekalkan alat pengecasan Adaptive Fast Charging dari Samsung, saya mengecas peranti ini dan ia mengambil masa sekitar 1 jam 29 minit untuk dicas penuh.

Samsung Galaxy S10 ini juga boleh digunakan sebagai dok pengecasan tanpa wayar bagi mengecas peranti lain yang menyokong fungsi tersebut.

Rekaan elegan dengan kamera hadapan dalam skrin

Pertama kali melihat peranti ini, jelas terpampang kemewahan pada reka bentuknya. Tidak salah rasanya jika saya katakan ini adalah rekaan tercantik yang pernah dihasilkan pada model dibawah siri Galaxy S.



Dibina dengan kaca, Samsung Galaxy S10 ini ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Prism Black(gambar), Prism White dan Prism Green. Namun jika ditanya pada saya, saya paling sukakan pilihan warna Prism White.

Bagaimanapun, akibat daripada penggunaan kaca dalam binaan peranti ini, ia berasa agak panas walaupun hanya digunakan buat tempoh kira-kira satu jam sahaja.

Kesan cap jari juga mudah untuk melekat pada belakang peranti, namun ia tidaklah seteruk kesan sama pada Galaxy Note 9, menurut perhatian saya.

Menariknya, Galaxy S10 ini menggunakan rekaan skrin tebuk bagi mengelakkan penggunaan takuk.



Berbekalkan panel skrin Dynamic AMOLED 6.1-inci FHD+, kualiti paparan yang dimiliki oleh peranti ini tidak lagi perlu dipersoalkan.

Dengan ketebalan lebih kurang 7.8mm dan berat sekitar 157 gram, peranti ini selesa digenggam namun berasa terlalu ringan bagi saya.

One UI ubah persepsi terhadap Samsung

Sistem antaramuka yang digunakan oleh Samsung ketika ini memang sudah jauh berbeza daripada sistem TouchWiz dahulu.

TouchWiz ketika itu menerima banyak tohmahan kerana didakwa sering bermasalah dan gagal berfungsi dengan baik.

Akan tetapi bermula dari Samsung Experience sebelum ini, antaramuka Samsung mula menjadi lebih baik.



Selepas itu, Samsung melancarkan pula antaramuka One UI bersama-sama Android 9 Pie beberapa bulan lepas.

One UI ini telah berjaya mengubah persepsi pengguna terhadap peranti Samsung apabila ia dapat dijalankan dengan sangat lancar dan pantas.

Bukan itu sahaja, ikon yang digunapakai juga adalah lebih bersesuaian dan nampak lebih profesional.

Sepanjang penggunaan saya setakat ini, tidak pernah saya mengalami sebarang masalah lag walaupun banyak aplikasi dibuka secara latar belakang.



Peranti ini hadir dengan beberapa fungsi menarik, antaranya Digital Wellbeing untuk memantau penggunaan harian telefon pintar.

Sensor imbasan cap jari ultrasonic dengan tahap kepantasan yang tidak berubah 

Salah satu daripada ciri yang dipromosikan oleh pihak Samsung semasa memasarkan peranti ini ialah sensor imbasan cap jari ultrasonic.

Oleh sebab itu, saya mengharapkan sensor ini dapat mengimbas cap jari dengan lebih pantas berbanding sensor fizikal yang digunapakai pada Galaxy Note 9 sebelum ini.



Namun selepas diuji, kepantasan imbasan cap jari bagi kedua-dua peranti tersebut adalah lebih kurang sama sahaja.

Malah, ia juga beberapa kali gagal mengesan cap jari ketika jari sedikit lembab atau basah.

Akan tetapi, tidak dapat dipastikan samada ia hanya berlaku pada peranti review unit yang ada pada saya atau turut berlaku pada peranti rasmi untuk jualan nanti.

Jika ya, Samsung jelas perlu melakukan sesuatu pada sensor imbasan cap jari peranti ini.

Hasil gambar yang jelas dan cantik

Berbekalkan tetapan kamera utama tri-lensa 12MP sudut luas + 12MP telefoto + 16MP sudut ultra-luas serta kamera hadapan 10MP, gambar yang diambil menggunakan peranti ini adalah cantik dan terperinci.

Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakannya:



Lensa sudut luas berfungsi dengan sangat baik dan kehilangan kualiti gambar adalah sangat minimal.



Gambar yang diambil pada waktu malam juga tidak mengecewakan.



Bateri Samsung Galaxy S10 masih berbaki 6% selepas satu hari

Ya, walaupun hanya berbekalkan bateri berkapasiti 3,400mAh, peranti ini masih lagi mampu bertahan selama sehari tanpa sebarang masalah.



Dalam tempoh seharian saya bersama Galaxy S10 ini, saya telah bermain dua permainan PUBG Mobile, menonton beberapa episod siri anime Boruto seterusnya menggunakannya untuk kegunaan harian biasa.

Oh ya, sepanjang tempoh itu, saya telah menggunakan peranti ini dalam mod malam di mana saya percaya kebanyakan daripada kita lebih gemar menggunakannya sepanjang masa berbanding pada waktu malam sahaja.

Secara keseluruhannya, saya berpendapat bahawa Samsung Galaxy S10 ini bakal menjadi antara pencabar terkuat bagi arena telefon pintar dunia pada tahun ini.

Kecemerlangan yang ada pada peranti ini telah menyebabkan saya berasa tidak sabar untuk mencuba dua lagi model dalam siri Galaxy S10 - Galaxy S10e dan Galaxy S10+ pula jika diberi peluang.

Sekian sahaja ulasan ringkas kami mengenai Samsung Galaxy S10 buat ketika ini. Nantikan ulasan penuh daripada kami untuk peranti ini dalam masa terdekat.