Ini Mungkin Imej Rekaan Terbaru Sony Xperia, Pengimbas Cap Jari Terbina Di Skrin

Boleh dikatakan Xiaomi Mi Mix sebagai telefon pintar yang mempopularkan rekaan skrin penuh bersama bingkai nipis dibahagian atas dan bawah.

Beberapa hari yang lepas, telah tersebar di internet dua imej yang dipercayai dua model telefon pintar baru dari Sony dan ia dikatakan adalah imej sebenar.

Tidak seperti rekaan model lama yang agak membosankan, model-model tersebut menampilkan rekaan yang lebih terkini dengan skrin paparan penuh serta berbingkai nipis. Satu model dengan penjuru yang berbentuk lengkung dan satu lagi lebih petak sedikit.



Pada bahagian hadapan boleh dilihat lensa kamera serta garisan putih yang dipercayai speaker di atas dan dibawah.

Bahagian belakang kelihatan sangat premium dimana salah satunya mungkin diperbuat daripada kaca.



Kedua-duanya dilengkapi dengan sistem dwi kamera utama tetapi berlainan kedudukan lensa. Model yang agak petak mempunyai dwi lensa yang terpisah dengan sensor flash manakala rekaan satu lagi, dwi lensa terletak bersebelah di penjuru atas kiri dan mempunyai pengimbas cap jari diatas tulisan XPERIA.

Model dengan kemasan belakang kaca dikatakan akan mempunyai sensor pengimbas cap jari terbina di skrin hadapan.

Untuk spesifikasi, kedua-duanya mungkin didatangkan dengan skrin 5.7 inci bernisbah 18:9, dikuasakan dengan Snapdragon 845, RAM 6GB dan dioperasikan dengan Android Oreo 8.0.

Walau apa pun, imej ini masih belum dapat dipastikan kesahihannya.

Sumber: GizChina