Ini Jawapan TIME Mengapa Perkhidmatan Mereka Tiada Di Perumahan Teres

Bagi anda yang terlepas berita hangat berkenaan sambungan internet hujung minggu lalu, semalam SKMM telah mengeluarkan kenyataan media berkenaan harga standard minimum jalur lebar talian tetap tempatan kendalian empat syarikat telekomunikasi.

Sebelum itu, salah satu pengendali rangkaian, TIME, telah melancarkan  satu pakej internet baru berkelajuan 1Gbps, dan ia adalah penawaran kelajuan pertama seumpamanya untuk pengguna tempatan.

Ramai pengguna masih tertanya-tanya mengapa TIME tidak melebarkan penawaran mereka kepada pengguna yang mendiami kawasan perumahan teres atau landed house.

Menjawab persoalan itu, TIME menerusi perkongsian di Facebook, telah menyatakan pihak mereka tidak mempunyai kebenaran untuk menanam tiang atau mengakses tiang-tiang sedia ada untuk penawaran internet kepada perumahan teres.


Turut dinyatakan, TIME tidak mahu menumpang rangkaian dengan pihak lain atas faktor mahu mengawal kualiti serta kelajuan rangkaian mereka. Perkara yang sama juga melibatkan kabel rangkaian bawah laut yang menghubungkan internet global merentasi 4 benua.

Pada 2020, TIME menyasarkan perkhidmatan mereka akan ditawarkan kepada lebih 1 juta premis.

Sumber: TIME