Ini Harga Rasmi Komputer Riba Gaming Asus Dengan RTX 3060 Di Malaysia

Bagi penggemar komputer riba gaming, Asus merupakan salah satu jenama yang menjadi pilihan disebabkan prestasi, rekaan dan harganya yang mampu milik.

Kini, barisan terbaru komputer riba gaming Asus bakal hadir buat pasaran tempatan bermula April ini.

Berikut adalah komputer riba tersebut:

  • Asus TUF Dash F15

  • ROG Strix G15 dan G17

  • ROG Zephyrus G14


Dari segi spesifikasi, hampir kesemuanya adalah sama seperti sebelum ini, bezanya kali ini adalah kad grafik pada barisan terbaru tersebut menggunakan kad grafik yang sama, iaitu NVIDIA RTX 3060.

Asus TUF Dash F15


Siri Asus TUF adalah penawaran yang memfokuskan komputer riba gaming mampu milik buat pengguna. Ia ditawarkan dengan satu warna, Eclipse Gray dan mempunyai dua varian.

Perbezaan bagi kedua-dua varian adalah dari segi cip pemprosesnya, iaitu Intel Core i5-11300H dan Intel Core i7-11370H. Turut dipadankan dengan RAM 8GB dengan satu slot tambahan. Sementara varian lain didatangkan terus 16GB RAM.



Di dalamnya juga dimuatkan storan SSD NVMe sehingga 1TB serta slot tambahan bagi yang ingin storan lebih besar.

Dilengkapi paparan 15.6 inci beresolusi FHD serta sokongan kadar penyegaran 144Hz dan sRGB 62.5%.

Harga jualan untuk varian Intel Core i5 adalah RM4699. Manakala varian Intel Core i7 pula berharga RM5499.

ROG STRIX G15 dan G17


Siri ini adalah lebih berkuasa daripada Asus TUF. Terdapat dua varian yang mana skrin bersaiz 15.6 inci dan satu lagi bersaiz 17.3 inci.

Paparannya mirip Asus TUF yang dilengkapi panel IPS FHD, kadar penyegaran 144Hz dan 62.5% sRGB.



Ia dikuasakan cip pemproses AMD Ryzen 9 5900HX bersama-sama RAM 16GB dan storan dalaman sehingga 1TB NVMe SSD.

Untuk harga, G15 dijual pada RM5999 sementara G17 adalah berharga RM6299.

ROG Zephyrus G14


Siri Zephyrus memang tidak asing lagi dalam kalangan gamer kerana selain spesifikasi yang tinggi, rekaannya juga tampil dengan AniMe Matrix pada panel hadapannya.

Terdapat dua varian dalam siri ini dan yang membezakannya hanyalah warna, iaitu Moonlight White dan Eclipse Gray.



Dari segi dalaman, kedua-duanya adalah sama. Ia dijana cip pemproses AMD Ryzen 9 5900HS dengan RAM 16GB serta storan dalaman 1TB NVMe SSD.

Skrinnya pula dilengkapi paparan 14 inci beresolusi WQHD dan menyokong kadar penyegaran 120Hz serta diperakui Pantone. Tanda harga yang diletakkan adalah RM7699.

Bagi yang berminat untuk membeli, kesemua barisan komputer riba Asus ini akan tersedia bermula April 2021.

Sumber: Siaran Akhbar Asus