Seperti yang diketahui, Apple bakal mengadakan acara khas mereka pada 20 April ini yang mana beberapa produk baharu dijangka diumumkan.
Selain daripada itu, satu lagi perkara yang ditunggu-tunggu pengguna iPhone adalah iOS 14.5.
Bercakap tentangnya, ia merupakan kemas kini penting atau dalam erti kata lain “major update” bagi sistem operasi ini.
iOS 14.5 akan membawakan pelbagai ciri baharu, menarik serta berguna kepada pengguna iPhone.
Antara ciri penting yang ditawarkan adalah seperti nyahkunci (unlock) iPhone menggunakan Apple Watch, audio Siri baharu, Apps Tracking serta penambahan emoji.
Sejak COVID-19 melanda, ramai merasakan Face ID menyusahkan dan pengguna iPhone X dan ke atas pasti merindui Touch ID.
Jangan bimbang, kali ini Apple berikan anda untuk nyahkunci peranti dengan menggunakan Apple Watch.
Caranya adalah apabila iPhone tidak dapat mengesan wajah anda ketika memakai pelitup muka, secara automatik tindak balas haptic akan diberikan pada Apple Watch.
Di sini, ia akan memaparkan “unlocking with Apple Watch”. Persoalan sekarang, kenapa Apple sangat lambat untuk menampilkan fungsi ini.
Akan tetapi, apabila ia hadir pun, agak tidak adil bagi pengguna yang tiada jam tangan pintar Apple itu.
Seterusnya, fungsi yang tidak digemari beberapa aplikasi terutama Facebook, iaitu Apps Tracking Transparency.
Fungsi ini sebenarnya memberikan aplikasi untuk meminta izin kepada “tuan rumah” (anda), bagi menjejak aktiviti anda walaupun tidak menggunakan aplikasi.
Selain itu, Siri juga menerima “kawan” baharu menerusi pilihan audio tambahan dan menjadikan 4 pilihan suara.
Tambahan lagi, pengguna iPhone kini boleh bermain permainan dengan menyambungkan alat kawalan PS5 atau Xbox Series S/X.
Lain-lain fungsi adalah emoji baharu serta beberapa emoji yang direka semula, paparan bateri sebenar pada barisan iPhone 11, Apple Podcast dan banyak lagi.
Jika anda tertanya bilakah kemas kini tersebut rasmi, Apple pasti melepaskannya sejurus acara khas mereka tamat.
Buat masa sekarang, iOS 14.5 Beta 8 yang mana fasa akhir percubaan telah pun diberikan kepada pengguna yang turut serta.
Berkemungkinan pengguna Beta akan menerima iOS 14.5 versi Golden Master (GM) sehari lebih awal atau semasa acara Apple berlangsung.
Bagi pengguna lain, sama-sama kita tunggu dan tidak terburu-buru mengejar kemas kini yang baharu.
Foto Utama: macrumors