Ini Caranya Untuk Menang War Mode Dalam PUBG Mobile

PUBG Mobile menjadi antara permainan kegemaran anak muda pada hari ini. Setiap kali Tencent Games, pembangun permainan ini mengumumkan kemaskini terbaru, pasti ia akan memberi keterujaan kepada pada pemain.

Ia termasuklah kemaskini utama terbaru iaitu versi 0.7.0 yang tersedia pada beberapa minggu lepas. Kemaskini tersebut telah hadir dengan beberapa pembaharuan seperti senjata dan peralatan baru, antaramuka permainan baru dan banyak lagi.



Namun, perkara paling menarik pada kemaskini kali ini ialah War Mode, iaitu sebuah mod baru yang memberikan pemain terjun dari kapal terbang bersama dengan sepucuk senapang yang diberi secara rawak. Pemain juga akan dihidupkan semula tanpa had selepas dibunuh dan pemenang akan ditentukan dengan berlumba untuk menjadi yang pertama mencapai sasaran jumlah ‘pembunuhan’ yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun, bukan semudah itu untuk memenangi perlawanan War mode ini. Oleh itu, izinkan kami bantu anda dengan memberikan lima(5) tips untuk memudahkan anda muncul sebagai pemenang di akhir permainan.

1.Jangan kekal di satu tempat untuk tempoh yang lama



Pastikan anda terus bergerak semasa bermain mod ini. Kekal di satu tempat untuk tempoh yang lama atau camping adalah satu tindakan yang salah untuk dilakukan dalam War Mode.

Pihak musuh akan lebih mudah mengesan kedudukan anda jika anda melakukannya. Jangan tetipu dengan Kar98k yang sering diberikan diawal permainan dan sentiasa amalkan gaya permainan tembak dan lari.

2. Jadikan sesuatu bangunan itu milik anda



Tips kedua ini agak bertentangan dengan tips yang pertama. Jika bermain dengan skuad empat pemain, pilih satu bangunan yang tinggi dan jadikannya sebagai kem anda. Pengguna cara ini mungkin dikatakan sebagai penakut, namun ia adalah strategi yang berkesan.

Dua perkara yang perlu diambil kira ialah senjata yang digunakan serta kerjasama berpasukan yang tinggi diperlukan. Seperkara lagi, jangan lakukannya jika anda bermain secara solo atau berpasangan. Oh ya, hati-hati dengan bom tangan dan molotov!

3. Mendarat di sempadan zon selamat



Seperti biasa, pilihan kawasan untuk mendarat amat penting. Mengambil kira kenyataan bahawa semua pemain terjun dengan sepucuk senapang, mendarat di kawasan tumpuan adalah sangat berisiko kecuali anda yakin dengan kebolehan anda.

Sempadan zon selamat adalah kawasan terbaik untuk mendarat dalam mod ini. Ia biasanya kawasan lapang dan kurang menjadi tumpuan kerana ketiadaan bekalan barangan perang. Namun, cara terbaik ialah bunuh beberapa musuh dan kumpul peralatan perang terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan tumpuan.

4. Pulihkan rakan anda



Sekiranya bermain secara berpasukan, jangan lupa untuk pulihkan rakan anda. Ia hanya mengambil masa selama 5 saat untuk dilakukan dan anda pasukan anda juga akan mendapat satu mata tambahan sekiranya ia dilakukan.

Selain itu, dengan membantu rakan sepasukan, ia turut akan menghalang pihak musuh daripada mendapat mata. Jangan biarkan kebolehan untuk hidup semula itu menjadi alasan untuk anda tidak mengambil berat tentang nyawa rakan anda.

5. Sentiasa perhatikan kawasan 'supply drop' mendarat



Antara yang menarik berkenaan War mode ini ialah supply drop akan hadir dengan lebih kerap. Kejayaan untuk mendapatkannya akan memberikan kelebihan besar kepada anda dalam mod ini.

Namun, jika anda tidak sempat, jangan biarkan pemain lain melakukannya. Perhatikan kawasan sekeliling kotak bekalan tersebut bagi mengesan pihak musuh yang ingin mendapatkannya. Aim, bunuh dan sekiranya anda rasa selamat, pergi dapatkan bekalan anda segera.

Setakat ini sahaja tips untuk pemain PUBG Mobile daripada kami. Harap ia membantu anda. Mahukan lebih tips berkenaan PUBG Mobile atau permainan mudah alih lain? Atau mahu kongsikan tips anda? Nyatakan di ruang komen.

Sumber : Pelbagai