Ini Cara Untuk Pantau Suhu CPU Pada Windows 10

Sekiranya anda seorang pengguna komputer yang biasa, pasti anda tidak kisah akan apa yang berlaku terhadap perkakas komputer ketika menggunakannya.

Namun, terdapat golongan yang sentiasa ingin tahu terhadap perkakas komputer mereka terutama suhu cip pemproses (CPU).

Sebenarnya, suhu CPU perlu dipantau dari semasa ke semasa kerana ia amat penting untuk ketahui bilakah kita perlu menghantar ke kedai untuk melakukan penukaran thermal paste yang ada pada CPU.

Bagi yang tidak tahu, thermal paste yang ada pada permukaan CPU akan memberikan pengaliran haba yang baik. Dalam erti kata lain, tanpanya, CPU anda akan menjadi terlalu panas.

Oleh itu, di sini kami memberikan cara bagaimana untuk memantau suhu CPU pada Windows 10.

Jika diikutkan, banyak aplikasi yang ditawarkan bagi memantau suhu CPU tetapi anda boleh menggunakan satu aplikasi yang kerap digunakan golongan PC, iaitu HWMonitor.

Pertama sekali, anda boleh memuat turun aplikasi HWMonitor di sini. Kemudian, pasangkan (install) mengikut versi komputer yang digunakan, sama ada 32-bit atau 64-bit.



Setelah aplikasi dipasang, buka aplikasi tersebut. Di sini, anda akan lihat nama CPU yang digunakan pada komputer anda.

Mungkin anda berasa pening kerana terdapat banyak sangat nombor. Akan tetapi, untuk pantau suhu CPU sahaja, anda hanya perlu baca pada Value.



Untuk value, ia adalah suhu semasa. Bagi min dan max pula, ia menunjukkan suhu terendah dan tertinggi yang CPU anda pernah capai.

Selain itu, aplikasi ini turut memaparkan suhu storan HDD, SSD, putaran kipas CPU dan sebagainya.

Kalau CPU anda mencapai 90°C dan ke atas, mungkin sudah tiba masanya anda perlu menukar thermal paste. Ini dapat mengelakkan CPU menerima throttling. Dalam bahasa mudah, prestasi akan berkurang sedikit.

Itu sahaja yang dapat dikongsikan pada kali ini. Semoga bermanfaat.

 

Berkaitan