Ini Alasan Mengapa PlayStation 4 Masih Berbaloi Untuk Dibeli

Selang beberapa minggu yang lalu, pihak Sony telah mengumumkan bahawa konsol permainan PlayStation 5 mereka akan dilancarkan pada cuti akhir tahun 2020 nanti.

Ia sekaligus menjawab persoalan yang bermain di minda peminat konsol tersebut serta sebagai "jawapan" kepada pengumuman pelancaran Xbox Two@Scarlett (nama tidak rasmi) juga pada tahun hadapan yang dibuat Microsoft semasa acara E3 2019 tempoh hari.

Pengumuman dari pihak Sony itu secara tidak langsung membuatkan ramai tertanya samada masih berbaloi atau tidak untuk membeli PlayStation 4 hari ini atau tunggu sahaja PlayStation 5 dilancarkan nanti.

Perbandingan Mudah PlayStation 4(PS4) vs PlayStation 5(PS5)


Dalam artikel ini saya akan menggunakan PS4 model asas sebagai contoh, dan bukannya PS4 Pro. Alasannya, beza di antara keduanya tidak terlalu ketara dan kecuali PS4 Pro boleh dimainkan dalam grafik 4K.

Tambahan pula, bukan semua permainan PS4 yang menyokong tetapan grafik tersebut.

Dari segi sokongan fungsi dan spesifikasi, tidak dinafikan bahawa PS5 mempunyai kelebihan jelas daripada pelbagai aspek. Sebagai contoh, ia hadir dengan sokongan SSD, teknologi ray tracing,  sokongan 8K, sokongan 4K pada 120Hz dan banyak lagi.

Kapsyen: Gambar Hiasan(Foto: YouTube)


Namun, kelebihan-kelebihan itu tentunya akan hadir dengan tawaran harga yang lebih tinggi. Walaupun harga konsol PS5 masih belum diumumkan, kami menjangkakan model asas bagi konsol itu bakal berharga sekitar RM2,000.

Untuk rekod,  PS4 model asas dijual pada harga sekitar RM1,800 ketika dilancarkan dan kami meramalkan PS5 nanti akan dijual pada harga tidak kurang daripada itu.

Akan tetapi, menurut tinjauan kami di beberapa buah gedung atas talian, kami mendapati model PS4 Slim boleh didapati pada harga serendah RM999 (asas 500GB) sehingga RM1300 (1TB berserta games).

Berbaloi atau Tidak Untuk Beli PS4 Sekarang?


Pada pendapat peribadi saya, PS4 masih kekal berbaloi untuk dibeli hari ini.

Ini kerana banyak permainan-permainan eksklusif yang menarik untuk anda cuba pada PS4 ini antaranya ialah God of War, siri Uncharted,  Spiderman serta Horizon Zero Dawn.

Kapsyen: Foto: Cultured Vultures


Selain itu, pihak Sony dan pembangun permainan juga dijangka akan terus menghasilkan permainan baru buat PS4 sekurang-kurangnya untuk tiga tahun selepas PS5 dilancarkan.

Buktinya, permainan FIFA 19 yang merupakan permainan terakhir bagi PS3 dilancarkan pada September 2019,  hampir enam tahun selepas PS4 dilancarkan(Nov 2013).

Tambahan lagi, sementara anda menikmati PS4 anda untuk sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun, anda mungkin akan dapat membeli PS5 pada harga yang lebih murah nanti.

Saya sendiri membeli PS4 Fat hanya beberapa minggu selepas ia dilancarkan pada harga sekitar RM2,000(termasuk game FIFA 14) dan berasa menyesal apabila melihat kembali harganya kira-kira dua tahun selepas itu.

Jadi, saya bercadang untuk menangguhkan dulu pembelian PS5 saya pada tahun kedua atau ketiga pelancarannya nanti untuk membelinya pada harga yang lebih murah(harap-haraplah).

Oh ya, secara peribadi, saya lebih gemar mencadangkan anda untuk mendapatkan PS4 terpakai yang sudah semestinya dapat dibeli pada harga yang lebih murah daripada model baharu.

Akan tetapi, pastikan anda periksa sendiri keadaan konsol itu serta sebaik-baiknya COD jika anda membeli secara atas talian. Sekiranya jauh, semak dahulu kredibiliti penjual dengan ahli lain jika anda membelinya melalui group Facebook dan sebagainya.

PS4 Mempunyai Pengguna Yang Ramai Di Malaysia


Bercakap mengenai group Facebook, PS4 mempunyai  komuniti yang agak besar di negara ini.  Maka, anda boleh mendapatkan koleksi permainan video terpakai dengan harga yang lebih murah dan dengan lebih mudah.

Kapsyen: Foto: MakeUsOf


Bukan sahaja membeli, menjual permainan yang sudah habis dimainkan juga akan jadi lebih mudah bagi anda. Selain itu, anda juga boleh menambah kenalan atas talian untuk bermain bersama serta memudahkan anda untuk mendapatkan sebarang pertolongan mengenai konsol atau permainan anda.

Sumber: TechWiser, TheControllerPeople

Berkaitan