Ini Adalah Jenama Telefon Pintar Yang Kerap Dipalsukan Sejak Tahun 2020

Kita sudah hampir memasuki separuh tahun 2021 tetapi, isu telefon palsu (fake phones) masih wujud sehingga kini.

Jika dahulu, telefon palsu hanya meniru rekaannya sahaja tetapi sekarang ia sudah mampu meniru segala isinya seperti sistem operasi.

Baru-baru ini, CNBeta telah berkongsikan laporan berkaitan telefon palsu dan ia didedahkan seiring dengan hari menentang barang palsu, iaitu pada 15 Mac di China.

Berdasarkan data daripada AnTuTu, sebanyak 572,303 telefon palsu dikesan sejak Mac 2020 hingga Februari 2021.

Dengan era telefon 5G sudah giat membangun, telefon palsu ini turut tidak ketinggalan melabelkannya. Namun, ia hanyalah sekadar label. Hakikatnya, tiada sokongan 5G.



Daripada kebanyakan jenama, Samsung menduduki carta telefon paling kerap dipalsukan dan diikuti Apple, Huawei dan Xiaomi.

Tidak hairan sekiranya Samsung dan Apple berada di dua tempat teratas kerana jenama tersebut sentiasa menawarkan telefon berkelas premium.



Selain itu, jenama dari China, Huawei P10 kekal menjadi telefon paling banyak dipalsukan dengan sebanyak 66085 unit.

Ia kemudian diikuti iPhone X dengan 16495 unit, Samsung Galaxy S9+ 8097 unit dan Samsung Galaxy Note 10+ dengan 7523 unit.

Menerusi data ini, adakah anda pernah menggunakan telefon palsu? Jika diikutkan, telefon sebegini tidak lagi patut dibeli.

Ini kerana, pada masa sekarang sudah banyak telefon pintar yang sudah ditawarkan spesifikasi yang baik dengan tanda harga yang mampu milik.

Sumber: CNBeta via Gizchina