Versi Android terkini adalah Android 12 yang setakat ini masih menjadi status VIP untuk telefon Google Pixel dan beberapa jumlah kecil model telefon yang lain.
Belum pun ramai lagi menerima kemaskini versi Android 12 yang terbaharu ini, kini kita sudah mula menerima desas-desus tentang Android 13 yang akan datang pula.
Dikenali dengan nama kod “Tiramisu”, pihak XDA kini telah membedah siasat versi Android 13 yang kini sedang diuji.
Sehubungan dengan itu, ini adalah merupakan antara ciri baharu Android 13:
1. Pilihan Bahasa Dalam Aplikasi
Secara natif, Android sememangnya sudah ada tetapan untuk memilih bahasa. Namun dalam Android 13, tetapan pilihan bahasa kini lebih terperinci dengan pengguna boleh memilih untuk setiap aplikasi secara individu pula.
Ini membolehkan sesuatu aplikasi mempunyai pilihan bahasa berlainan dengan sistem luar. Mungkin berguna untuk sesetengah pengguna yang mahukan pilihan bahasa berlainan antara aplikasi yang digunakannya.
2. Keizinan Untuk Penerimaan Notifikasi
Aplikasi yang dipasang dalam telefon Android dibolehkan untuk menghantar notifikasi. Semakin banyak aplikasi yang dipasang dalam telefon, semakin lama notifikasi semakin banyak dan semak lalu akhirnya menjadi spam serta sakit mata.
Versi-versi Android terkini sebenarnya ada cara penyelesaian mengatasi masalah ini namun kebanyakan pengguna tidak tahu-menahu. Ditambah lagi, pengguna perlu melakukannya secara manual satu-persatu notifikasi dan aplikasi tersebut.
Melalui Android 13, Google kini mencuba cara baharu dengan cara notifikasi akan meminta izin terlebih dahulu. Situasi ini adalah sama seperti mana apabila aplikasi cuba mengakses lokasi atau kamera.
Ini bermakna pengguna boleh memilih untuk tidak menerima notifikasi langsung ataupun ada pilihan lain yang sesuai dengan kemahuan pengguna sebagaimana cara mereka menggunakan aplikasi tersebut.
3. TARE: The Android Resource Economy
Ini benda yang agak baharu dan juga menarik. Dalam Android 13, Google akan menyertakan satu ciri dinamakan TARE iaitu The Android Resource Economy.
Seperti namanya, TARE akan memperkenalkan sesuatu yang boleh diumpamakan seperti satu jenis bentuk mata wang. Nilai mata wang ini akan diikat dengan tahap peratusan bateri dan Google akan menghadiahkan kredit kepada aplikasi berdasarkan aplikasi itu menggunakan tenaga bateri.
Kemudiannya, kredit itu akan digunakan sebagai bayaran untuk melakukan tugasan.
Kurang faham? Secara ringkas dan mudahnya, Google akan menetapkan had sebanyak mana tugas yang boleh dilakukan oleh aplikasi bergantung kepada tahap bateri dan juga keperluan aplikasi itu.
Lagi senang, ia merupakan ciri untuk menjimatkan bateri.
Jujurnya bunyi macam kompleks. Mungkin apabila Developer Preview Android 13 nanti keluar, baru kita akan dapat gambaran dengan lebih jelas apa sebenarnya TARE ini.
4. Aturan Jam Skrin Kunci
Pada Android 12, Google memperkenalkan rupa jam besar yang baharu di skrin kunci. Namun, jika terdapat notifikasi aplikasi, jam akan mengecil ke atas.
Pada Android 13, pengguna boleh memilih sama ada jam akan mengecil atau tidak walaupun ketika tiada notifikasi.
Setakat ini, empat ciri ini adalah ciri yang boleh dilihat sementara ia diuji. Sudah tentu akan lebih banyak ciri dan juga ada ciri yang bakal dibuang menjelang pelancaran rasminya nanti pada tahun hadapan.
Sumber: XDA