KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- iPay88 Holding Sdn Bhd mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan cukai berasaskan keuntungan yang lebih membina dan bukannya berasaskan industri digital secara menyeluruh yang berkemungkinan diumumkan dalam Belanjawan 2019 pada Jumaat ini.
Pengasas Bersama merangkap Pengarah Eksekutifnya, Chan Kok Long dalam satu kenyataan hari ini berkata ini memandangkan industri digital di Malaysia masih belum bersedia pelaksanaan cukai digital ketika sektor terbabit masih berusaha meraih keuntungan.
"Industri teknologi kewangan (fintech) misalnya telah mengubah industri kewangan dan cara perniagaan dijalankan. Namun, para penggiat industri masih dalam peringkat melabur dalam perniagaan berbanding mencatat keuntungan," katanya.
Çhan turut menyifatkan industri digital Malaysia masih dalam peringkat awal dan kebanyakan syarikatnya terus berusaha untuk mencatat pulangan.
Sehubungan itu, beliau berkata sebarang langkah pelaksanaan cukai ke atas industri baharu sebaliknya hanya merugikan Malaysia apabila para pesertanya beralih ke lokasi lain seperti di negara jiran.
“Pelaksanaan cukai digital pada masa ini akan menyekat inovasi dan pertumbuhan industri berbanding kehadiran penggiat asing ke dalam pasaran," katanya.
Sambil mengakui keperluan kerajaan untuk melakukan kutipan cukai, Chan berkata Malaysia sewajarnya melaksanakan cukai yang berasaskan keuntungan berbanding berasaskan industri itu secara menyeluruh.
“Sebagai contoh, penggiat antarabangsa itu yang perlu dikenakan cukai kerana mereka sudah sedia berjaya sehingga mampu berkembang ke pelbagai negara.
"Kami juga percaya, kerajaan perlu menetapkan cukai keuntungan berasaskan margin bagi membolehkan industri itu berkembang kepada ekonomi yang maju.
“Selain itu, kami juga berharap kerajaan akan melakukan kajian mendalam terhadap industri ini serta cabaran yang ada sebelum bertindak memperkenalkan cukai digital dan tidak menyekat pertumbuhan sektor ini," katanya.
-- BERNAMA
Sumber gambar utama: Mishcon
Berkaitan
- Ciri Pembayaran Melalui WhatsApp Digantung Bank Pusat Brazil
- Anda Kini Boleh Baca Majalah Gila-Gila Dari Telefon Pintar
- Mi Mix 3 Mula Dijual 12 Januari, Harga Bermula Dari RM2199
- Pulau Pinang Akan Mulakan Projek Rintis Internet Berkelajuan Tinggi Menggunakan Kabel Tembaga
- WhatsApp Akan Guna Cap Jari Untuk Nyahkunci Aplikasi
- Sony Daftar Tanda Dagang PS6, PS7, PS8, PS9 Dan PS10
- Khas Buat Pengguna Redmi Note 3 Dan Redmi Note 4, Tetapan Kamera Untuk Hasil Gambar Yang Terbaik
- SKMM Keluarkan Kenyataan Terbaru Mengenai Insiden 50 Juta Facebook Digodam
- Skrin LCD Dengan Ciri Imbasan Cap Jari Seluruh Skrin Dilaporkan Sudah Berjaya Dihasilkan
- Jabatan Perhutanan Negeri Pahang Akan Guna Dron Untuk Awasi Pencerobohan Hutan