India Perkenal Keretapi Dijana Dengan Kuasa Solar

Keretapi merupakan salah satu pengangkutan utama yang menghubungkan wilayah-wilayah di India. Perkhidmatan keretapi di sana menggunakan minyak diesel sebagai sumber tenaga tetapi kini ia bakal digantikan dengan sumber tenaga yang baru iaitu solar.

Pada tahun 2014, India Railways telah menggunakan sebanyak 2.6 bilion liter minyak diesel dan sudah pasti ia menelan kos perbelanjaan yang tinggi. Bagi menjimatkan kos, syarikat tersebut telah memasang 16 panel solar di atas bumbung setiap gerabak keretapi.

Panel solar ini menggantikan penjana diesel yang berfungsi menjana kuasa bagi peralatan di dalam gerabak seperti:

  • Lampu

  • Kipas

  • Sistem paparan maklumat


Gerabak-gerabak ini masih ditarik oleh lokomotif yang menggunakan diesel sebagai bahan api, cuma dengan penggantian penjana diesel untuk peralatan sekurang-kurangnya 21,000 liter diesel dapat dikurangkan dalam setahun.

Keretapi pertama lengkap dengan sistem solar ini bakal digunakan pada rangkain keretapi yang menghubungkan pinggir bandar New Delhi, salah satu kawasan paling tercemar di dunia.

Sumber: Quartz India