Imej Tertiris Nokia 5.1 Plus Dedahkan Kamera Utama Dwi-Lensa

HMD Global dilaporkan sedang membangunkan sebuah lagi peranti naiktaraf untuk model sedia ada iaitu Nokia 5.1 Plus. Peranti ini merupakan peranti naiktaraf kepada model Nokia 5.1 yang baru sahaja diumumkan pada hujung bulan Mei yang lalu.

Antara perubahan paling ketara yang mungkin dibawa oleh pihak Nokia ke peranti Nokia 5.1 Plus ini adalah fungsi dwi-lensa pada kamera utamanya. Ia menjadi tular di kalangan peminat Nokia selepas satu imej yang dikatakan peranti berkenaan telah tertiris oleh Tigres Mobile.


Kredit : Kara Nigeria Online(Nokia 5.1) & Tigres Mobile(Nokia 5.1 Plus)


HMD dilihat mengekalkan reka bentuk yang sedia ada pada Nokia 5.1(gambar kanan) kepada peranti Nokia 5.1 Plus(gambar kiri). Namun, menurut laporan, Nokia 5.1 Plus dikatakan akan hadir dengan panel kaca pada bahagian belakang peranti.

Selain itu, dapat dilihat pada imej Nokia 5.1 Plus bahawa logo Nokia yang diletakkan pada bahagian atas paparan hadapan sebelum ini telah dibawa ke bahagian dagu peranti. Keluaran kali ini juga akan hadir dengan rekaan takuk pada paparan hadapan.

Tiada sebarang maklumat lanjut berkenaan spesifikasi dalaman peranti ini yang telah didedahkan buat masa ini. Untuk perkembangan terkini bagi peranti Nokia 5.1 Plus ini, anda boleh ikuti laman sesawang rasmi Nokia dan Facebook rasmi mereka.

Sumber