Imej Rasmi Redmi Note 10 Pro Tertiris, Ini Spesifikasi Yang Sudah Disahkan

Umum sudah mengetahui, Xiaomi akan melancarkan siri Redmi Note 10 untuk pasaran global pada 4 Mac 2021. Terkini, video promosi Redmi Note 10 Pro yang tertiris telah memperlihatkan imej rasmi peranti bersama spesifikasi utama yang bakal ditampilkan bagi model berkenaan.

Pada asalnya, video promosi itu telah dimuat naik di saluran Youtube Xiaomi UK sebelum ditarik balik. Ianya kemudian telah dimuat naik semula oleh seorang pengguna Youtube.

https://www.youtube.com/watch?v=lugAm9ZQPqU

Sama seperti yang disahkan Xiaomi sebelum ini, Redmi Note 10 Pro bakal tampil dengan skrin AMOLED bersama sokongan kadar segar semula 120Hz serta kuad kamera 108MP. Sebagai tambahan, peranti ini akan dilengkapi skrin berukuran 6.67 inci dengan paparan berlubang.

spesifikasi Redmi Note 10 Pro

Antara lainnya, Redmi Note 10 Pro akan hadir dengan janaan cip pemproses Snapdragon 732G serta kapasiti bateri 5030mAh dengan pengecasan pantas 33W. Peranti ini juga mempunyai sokongan pembesar suara stereo.



Untuk lebih banyak mengenainya, nantikan pelancaran yang akan berlangsung 4 Mac 2021, jam 8.00 malam.

Sumber: Twitter