Imej Peranti Xiaomi Mi Mix 3 Tertiris Menjelang Pelancaran

Xiaomi bakal melancarkan satu lagi model baru, Xiaomi Mi Mix 3 mereka sebentar sahaja lagi. Majlis pelancaran dijadualkan akan berlangsung pada pukul 2 petang ini . Namun, imej sebenar peranti berkenaan dilihat telah tersebar di internet sejak awal pagi tadi.

Seperti dijangka, peranti ini akan mempunyai nisbah paparan skrin pada badan peranti yang besar, memandangkan ia mempunyai kamera hadapan yang tersorok di belakang skrin. Terdapat laporan yang menyatakan hampir 95% panel hadapan Mi Mix 3 ini akan dilitupi oleh panel paparan skrin jenis AMOLED bersaiz 6.4-inci.

Rekaan panel belakangnya pula nampak agak minimalis dengan tulisan "MIX" sahaja yang berada di sana. Ia berbeza dengan rekaan Mi Mix 2S yang nampak lebih elegan dan eksklusif. Bagaimanapun, sensor imbasan cap jari dapat dilihat sekaligus menjadikannya tidak akan hadir dengan imbasan cap jari dari dalam skrin seperti yang diura-urakan sebelum ini.

Harus diingatkan bahawa imej ini adalah belum rasmi, maka mungkin ada perbezaan di antara peranti ini dengan model sebenar yang akan dilancarkan sekejap lagi. Segala persoalan mengenai perkara ini bakal terjawab petang ini.

 

Sumber: Slashleaks