Imej Mi 11 Lite Didakwa Tertiris, Perlihatkan Rekaan Sebenar

Awal bulan ini, Xiaomi Mi 11 Lite dilaporkan sudah pun menerima pengesahan SIRIM dengan nombor model M2101K9AG. Pangkalan data IMEI turut mendedahkan peranti ini dinamakan sebagai Mi 11 Lite.

Terkini, imej Mi 11 Lite didakwa telah tertiris dan sekali gus memperlihatkan rekaan sebenar peranti itu. Menerusi imej yang didedahkan, tiada perbezaan yang ketara antara rekaan Mi 11 Lite dan Mi 11 versi asas.

Apa yang membezakan rekaan Mi 11 Lite adalah panel skrin yang rata berbanding skrin melengkung pada Mi 11 versi asas. Di bahagian belakang, modul kamera empat segi memuatkan tetapan tiga kamera, manakala kamera swafoto ditempatkan pada paparan berlubang.

imej Mi 11 Lite

Selain rekaan, imej berkenaan turut mendedahkan nombor model yang sama seperti dilaporkan sebelum ini. Peranti ini dilihat menjalankan MIUI 12 berasaskan sistem operasi Android 11.

Menguasakan peranti adalah pemproses lapan teras dengan kelajuan yang boleh mencapai sehingga 2.3GHz bersama memori RAM 6GB.

Namun, belum diketahui cip mana yang akan menjana peranti ini. Sudah tentu, lebih banyak perincian mengenainya akan diketahui tidak lama lagi.

Di sisi yang lain, pelancaran Mi 11 untuk pasaran Malaysia dijadualkan akan berlangsung pada jam 8.00 malam, 25 Februari 2021.

Sumber: GizmoChina