Imej Ini Didakwa Panel Paparan Untuk Nokia 9, Mirip Huawei Mate 9 Pro

Baru memasuki bulan kedua peranti Nokia 8 dilancarkan, kini sudah timbul pula khabar angin mengenai Nokia 9.

Satu imej telah mula tersebar di China dan ia didakwa sebagai panel paparan bagi Nokia 9. Berdasarkan informasi dari sumber yang memuat naik imej ini, Nokia 9 mungkin tampil dengan skrin paparan berukuran 5.5 inci atau 5.7 inci.



Apa yang dapat diperhatikan pada imej ini, Nokia 9 mempunyai rekaan bezel nipis dan sisi yang melengkung di kiri dan kanan. Jika dilihat sekali imbas, ia mirip seperti Huawei Mate 9 Pro dan Samsung Galaxy S8+.

Terdahulu, imej rekan depan dan belakang yang didakwa sebagai Nokia 9 turut tersebar dimana ia dikemaskan dengan binaan kaca pada bahagian belakang yang memungkinkan sokongan pengecasan tanpa wayar.



Khabar angin lain pula menyatakan Nokia 9 mungkin hadir dengan versi RAM 6GB serta RAM 8GB, storan dalaman bersaiz 128GB, pensijilan IP68-kalis air dan habuk, dan barangkali menggunakan pengimbas iris.

Jika imej ini benar seperti yang didakwa, Nokia 9 dilengkapi dengan pengimbas cap jari pada bahagian belakang, betul-betul dibawah lensa dwi kamera Carl Zeiss yang dijangkakan lebih padu berbanding Nokia 8.

Lihat ulasan Wiser.my tentang Nokia 8

Sumber: Baidu, Nokia Power User