Imbas Kembali : Sony Ericsson K850, Legenda Fotografi Suatu Ketika Dahulu

Jika pada hari ini boleh dikatakan Iphone sememangnya menjadi pilihan ramai pengguna jika dibandingkan dengan Google Pixel walaupun peranti keluaran Google itu mempunyai keupayaan kamera yang lebih baik berbanding Iphone. Begitu juga suatu ketika dahulu di mana para pengguna kebanyakannya memilih Nokia sebagai peranti harian mereka jika dibandingkan dengan Sony Ericsson yang mempunyai kelebihan dari segi kamera.

Antara peranti keluaran Sony Ericsson yang amat popular dengan keupayaan kamera iaitu Sony Ericsson Cybershot K850. Dilancarkan pada Jun 2007, ia merupakan peranti mercu keluaran Sony Ericsson dan ia juga merupakan pesaing utama kepada peranti mercu Nokia ketika itu iaitu Nokia N95.


Kredit Gambar : phonearena


Sony Ericsson telah memperkenalkan peranti Cybershot pada tahun 2006 di mana model pertamanya ketika itu Sony Ericsson K800 dilihat mendapat sambutan hangat. Selepas itu, Sony Ericsson terus menghasilkan model Cybershot dan dilihat K850 menjadi peranti yang hangat pada tahun 2007. Dilengkapi dengan skrin bersaiz 2.2 inch crystal-clear 182 ppi, ia boleh dikatakan antara skrin terbaik pada telefon pintar ketika itu. Manakala dari segi storan, ia mempunyai storan dalaman 512MB dan mempunyai slot memori Micro sd maksimum sehingga 4GB. Dari segi bateri pula, ia mempunyai kapasiti bateri 920mAh dan dilihat sedikit kecil jika dibandingkan dengan pesaing utamanya Nokia N95 yang mempunyai bateri berkapasiti 950mAh.


Kredit Gambar : phonearena


Tarikan utama bagi Sony Ericsson K850 ini sudah semestinya pada bahagian kamera. Dilengkapi dengan kamera bersaiz 5MP dan dilengkapi dengan xenon flash, ia merupakan antara peranti yang mempunyai saiz kamera terbesar ketika itu. Walaupun ia mempunyai saiz kamera yang sama dengan pesaingnya iaitu Nokia N95, keupayaan kamera Sony Ericsson K850 mempunyai kelebihannya tersendiri kerana ia mampu mengawal shutter speed dengan cemerlang ketika mengambil gambar objek yang sedang bergerak. Di Malaysia, peranti ini amat terkenal kerana keupayaan kameranya yang boleh mengambil gambar menghentikan kipas yang sedang bergerak. Namun, dari segi rakaman video ia hanya mampu merakam dengan kualiti 320p 30 fps berbanding Nokia N95 yang mampu merakam dengan kualiti 480p 30fps.



Sony Ericsson K850 boleh dianggap sebagai legenda di dalam dunia fotografi mobil. Dengan keupayaan kamera yang menakjubkan ditambah dengan reka bentuk yang menarik, pasti ramai pengguna hari ini merindui peranti sepertinya. Pada tahun 2008, Sony Ericsson telah melancarkan peranti terbarunya iaitu Sony Ericsson C905 bagi menggantikan K850, namun ia tidak mendapat sambutan dan perhatian dari kalangan pengguna seperti K850.

 

Sumber : phonearena, gsmarena