Imbas Kembali : Nokia N Gage QD, Peranti “Gaming” Kegilaan Remaja Suatu Ketika Dahulu

Peranti “gaming” sememangnya amat popular di kalangan pengguna terutamanya dalam kalangan golongan muda. Jika kita lihat pada hari ini, terdapat pelbagai peranti khas yang dicipta untuk permainan mobil.

Masih ingatkah anda mengenai peranti “gaming” legenda yang menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu iaitu Nokia N Gage QD.

Merupakan Nokia N Gage Generasi Kedua.




Dilancarkan pada April 2004, Nokia Ngage QD merupakan peranti “gaming” kedua keluaran Nokia dan juga merupakan peranti terakhir bagi siri N Gage. Ia dilancarkan setelah Nokia N Gage yang pertama gagal menarik minat pengguna kerana reka bentuknya yang agak pelik.

N Gage QD hadir dengan rekaan yang lebih moden dengan mempunyai rekaan bujur dan mempunyai lingkaran getah di sekelilingnya. Ia juga hadir dengan skrin 2.1 inch dengan resolusi 176X208p yang sama dengan siri sebelumnya.

Nokia N Gage generasi pertama


Nokia N Gage QD hadir dengan platform Siri 60 versi pertama yang menjalankan Symbian siri 6.1. Dari segi storan, ia hadir dengan memori dalaman 3.4MB dan boleh disertakan kad memori MMC sebagai storan tambahan.


Apa yang menarik minat pengguna mengenai versi QD ini, ia mempunyai slot kad memori di luar peranti tidak seperti model terdahulu di mana slot memori di dalam peranti. Ini memudahkan pengguna kerana tidak perlu membuka bateri untuk menukar kad memori.

Dari segi bateri pula ia hadir dengan bateri Li-ion 1070 mAh, di mana ia lebih besar berbanding Nokia N Gage generasi pertama yang hadir dengan bateri berkapasiti 850 mAh.

Permainan Mobil N Gage Menjadi Kegilaan Ramai.




Nokia N Gage sememangnya mempunyai keunikan yang tersendiri kerana ia hadir dengan permainan-permainan mobil yang direka khas untuknya. Antara permainan yang terkenal suatu ketika dahulu ialah Asphalt Urban GT dan EA FIFA 2005.

Dengan mempunyai rekaan seperti Nintendo GameBoy, ia memberikan pengalaman yang unik buat para pengguna ketika itu kerana peranti lain tidak mempunyai ciri-ciri seperti ini.

Namun, kegemilangan “N Gage Games” hanyalah sementara kerana banyak faktor yang membuatkannya ditinggalkan pengguna.

Tiada Kamera dan Beberapa Fungsi Menarik.




Salah satu kelemahan peranti ini ialah ia tidak mempunyai kamera. Tidak diketahui mengapa pihak Nokia tidak menyertakan kamera pada rekaan siri N Gage ini.

Dengan kehadiran peranti terbaru seperti siri “XPress Music”, “Nokia N Series”, Sony Walkman dan pelbagai lagi model baru dengan inovasi terkini membuatkan pengguna semakin melupakan N Gage QD.

Kesimpulannya, Nokia N Gage QD merupakan sebuah peranti yang berjaya, namun kejayaannya hanyalah dalam masa yang singkat sahaja. Kesinambungan peranti N Gage dilihat sudah terkubur dan begitu juga “N Gage Games”.

Walaubagaimanapun siri Nokia N Gage tetap menjadi legenda buat peranti “gaming” yang lain seperti ROG Phone, Xiaomi Black Shark mahupun Sony XPeria Play.

Sumber : CNET