Imbas Kembali : Nokia 5300 Xpress Music, Telefon Pilihan Para Remaja Suatu Ketika Dahulu

Nokia merupakan sebuah nama yang besar dan gah dalam industri telefon pintar suatu ketika dahulu. Bermula pada tahun 2005, Nokia telah memperkenalkan pelbagai jenis model yang unik di pasaran dunia. Dengan pengenalan Nokia N-Series, Nokia dilihat menjadi pemangkin terhadap inovasi telefon pintar ketika itu.

Namun, ada sesuatu belum dilakukan Nokia ketika itu untuk bersaing dengan Sony Ericsson yang mengeluarkan telefon pintar mereka yang berasaskan muzik iaitu Sony Ericsson Walkman W800. Oleh itu, Nokia telah melancarkan sebuah peranti yang berasaskan muzik iaitu Nokia 5200 dan Nokia 5300 Xpress Music pada 2006.



Nokia 5300 merupakan penambahbaikan dari model Nokia 5200 di mana terdapat beberapa spesifikasi yang berlainan seperti, mempunyai resolusi skrin yang lebih besar iaitu 240 x 320p berbanding dengan Nokia 5200 yang hanya mempunyai skrin beresolusi 128 x 160p. Ia juga dilengkapi dengan kamera utama 1.3MP berbanding 0.3MP VGA pada Nokia 5200. Ia juga dilengkapi dengan Bluetooth 2.0 dan yang amat membezakan kedua peranti ini dengan lebih mudah ialah terdapat butang kawalan muzik pada sebelah kanan skrin sementara Nokia 5200 tidak mempunyai butang tersebut.



Nokia 5300 Xpress Music mempunyai reka bentuk yang ekslusif di mana ia mempunyai reka bentuk yang bersesuaian buat para remaja. Dengan menggunakkan sistem slider, ia memberikan pengalaman baru buat para pengguna kerana kebanyakan peranti ketika itu hadir dengan reka bentuk boleh lipat dan reka bentuk biasa. Pengguna juga boleh mengubah dan memainkan lagu dengan menggunakkan butang muzik fizikal yang terdapat pada sebelah kanan skrin.



Antara keistimewaan lain yang ada peranti ini ialah ia mempunyai speaker yang mempunyai base dan kelantangan audio di mana ia menghasilkan bunyi yang berkualiti berbanding dengan peranti lain. Hadir dengan beberapa variasi warna iaitu merah, kelabu, biru dan hitam.

Dengan mempunyai speaifikasi yang menumpukan kepada keupayaan muzik dan mempunyai reka bentuk yang moden dan menarik, tidak hairanlah mengapa Nokia 5300 menjadi pilihan para remaja terutamanya para pelajar sekolah suatu ketika dahulu.