Imagination Umum A-Series - GPU Generasi Baru Menggantikan PowerVR

Pentas industri GPU tidak terbatas kepada Adreno (Qualcomm) dan Mali (ARM) sahaja. Baru sahaja lagi, Imagination, turut serta mencabar syarikat GPU sedia ada dengan melancarkan GPU generasi baharu mereka, A-Series.

Imagination sebelum ini popular dengan GPU mereka tersendiri iaitu PowerVR. Sekarang ini PowerVR diguna pakai dalam cip dari MediaTek, Unisoc, Allwinner dan Rockchip. Seperti contoh, MediaTek Helio P90 menggunakan GPU PowerVR GM9446. Apple juga pernah menggunakan GPU PowerVR sehinggalah pada iPhone X mereka menghasilkan GPU kustom sendiri.

Menurut Imagination, GPU A-Series menawarkan 2.5x peningkatan prestasi, 8x pembelajaran mesin lebih laju, pada masa yang sama gunakan 60% jimat tenaga berbanding PowerVR yang sedia ada.

Terdapat 3 kategori GPU A-series yang dikelaskan oleh Imagination iaitu, paling berkuasa (XT), pertengahan (XM), dan juga bawahan (XE).



GPU AXT 64-2048 merupakan yang paling berkuasa dengan 2 Teraflops, 64 Gigapixel per saat, dan 8 tera operation per second (TOPS) prestasi AI. Manakala AXE 1-16 merupakan GPU terbawah dengan 16 gigaflops, 1 gigapixel per saat, dan dikatakan GPU dengan sokongan Vulkan terpantas dalam kelasnya. Berbanding GPU lain, GPU XE tidak menggunakan senibina yang baharu, sebaliknya ia menggunakan senibina Rouge iaitu senibina yang terdapat pada PowerVR kini.

GPU pada A-series menggunakan teknologi Hyperlane. Ia membenarkan pengasingan memori yang seterusnya membolehkan tugas yang berbeza disalurkan ke GPU secara serentak. Ia tidak terbatas kepada pemprosesan grafik, malah teknologi ini turut melibatkan  pembelajaran mesin juga.

IMG A Series hyperlane

GPU A-series ini akan membuat penampilan dalam pasaran seawal tahun 2020 nanti. Ia bukan sahaja akan menjadi calon GPU untuk dimuatkan dalam telefon pintar, malah juga peranti mudah alih lain seperti Chrombook.IMG A Series ray tracing coming

Pada tahun 2020 juga nanti, Imagination akan mengumumkan pengganti kepada A-series, yang dinamakan B-series. Ia akan mempunyai peningkatan prestasi sebanyak 30% berbanding A-series dan juga menyokong teknologi ray tracing.