Illegear Onyx Pro, Pilihan Premium Untuk Pengguna Profesional

Nak masuk tahun 2020 ni sudah pasti kebanyakkan peranti elektronik akan mengalami kitaran kemaskini seiring dengan kemasukan tahun baharu. Jika dilihat pada tahun 2019, ungkapan seperti ray-tracing mula diperkenalkan kepada umum melalui kad grafik NVIDIA berseni bina Turing. Kad generasi baharu ini merupakan generasi pertama untuk teknologi yang bakal mendominasi pasaran untuk beberapa tahun akan datang.

Illegear sebagai salah satu jenama dalam negara yang menawarkan peranti komputer riba yang boleh diubah suai juga turut mula menawarkan peranti mereka lengkap dengan kad grafik NVIDIA dari siri 20. Yang akan kami kupas pada kali ini adalah dari siri Premium mereka iaitu Onyx Pro. Untuk pengetahuan ramai, siri Onyx Pro ini menampilkan spesifikasi yang premium tetapi dengan harga yang lebih murah berbanding pesaing mereka di pasaran.

Rekaan



Sebagai permulaan, rekaan Onyx Pro ini memang nipis dengan majoriti bahan binaan adalah daripada bahan aloi magnesium menjadikan ia sangat ringan dengan berat hanya 1.55kg. Aturan papan kekuncinya yang ringkas dan tidak terlalu menonjol memberikan nilai estetik minimalist dan bersih. Justeru itu, ia boleh menjadi pilihan ramai yang mementingkan peranti serba boleh untuk pelbagai kegunaan. Hanya terdapat dua butang tambahan selain papan kekunci di bahagian dalam peranti iaitu butang kuasa dan juga butang kawalan mod (Office, Turbo, Gaming). Yang menarik perhatian kami adalah penambahan yang dipanggil LED Light Bar di bahagian kerangka yang sedikit sebanyak memeriahkan rupa keseluruhan Onyx Pro.

Paparan



Panel paparan Onyx Pro adalah dari jenis IPS dan ia mempunyai kadar penyegaran sehingga 240Hz. Ia sedikit sebanyak membantu permainan bertempo tinggi seperti permainan FPS (First Person Shooter). Saiz skrin 15.6" dia pula mempunyai bezel yang sangat nipis dengan teknologi Illegear yang digelar INFINIVISION Bezel-less Technology. Ia juga menyokong 100% sRGB yang sinonim dengan penghasilan warna yang lebih tepat. Illegear turut menawarkan satu lagi pilihan panel dari jenis Samsung AMOLED dengan kemasan glossy. Kamera pula diletakkan di bahagian bawah skrin, melengkapkan pengalaman sebenar menonton dan bermain permainan di Onyx Pro.

Spesifikasi

Onyx Pro hadir dengan cip pemprosesan Intel Core i7-9750H yang cukup sinonim dengan peranti komputer riba berprestasi tinggi. Dari segi pilihan kad grafik NVIDIA pula, ia ditawarkan dengan kad RTX 2060 dengan kapasiti 6GB dan juga RTX 2070 8GB dan kedua-dua kad ini merupakan gred max-P bermakna ia adalah kelas penuh yang digunakan untuk peranti desktop. Untuk ruang memori pula, Illegear memberikan kebebasan kepada pengguna untuk menentukan kapasiti memori yang dikehendaki. Berikut merupakan spesifikasi yang ada di tangan kami:

  • Memori RAM 16GB (8GBx2)

  • Seagate BarraCuda 510 SSD 256GB


Ia turut menawarkan ruang SSD kedua untuk mereka yang mahukan memori berkelajuan tinggi untuk Onyx Pro. Walau bagaimanapun, ia tidak menawarkan pilihan ROM dari jenis HDD yang ada untuk siri-siri lain dalam Illegear.

Papan Kekunci

Onyx Pro dilengkapi dengan papan kekunci penuh yang disertakan dengan kekunci nombor. Ia menyokong fungsi RGB dengan 4 zon warna. LED Light Bar yang terletak di kerangka Onyx Pro pula menyokong sehingga 8 warna. Kesemua fungsi lampu atau sistem pengawasan sistem boleh dilakukan melalui perisian Illegear Command Center yang dibekalkan di dalam peranti. Touch Pad yang dibekalkan juga responsif dengan fungsi ON/OFF boleh diaktifkan dengan hanya double tap.

Bicu I/O



Onyx Pro menawarkan bicu I/O yang mencukupi. Berikut merupakan senarai bicu I/O untuk Onyx Pro:

  • 1 HDMI 2.0

  • 2 Mini Displayport 1.4

  • 1 USB 3.1 Gen 1 (Type-C)(Data only)

  • 2 USB 3.1 Gen 1

  • 1 USB 2.0

  • 1 Headphone-out

  • 1 Mic-in

  • 1 RJ-45 LAN (10/100/1000Mbps)

  • 1 DC-in Jack

  • 2-in-1 card reader

  • Kensigton lock


Tawaran bicu I/O Onyx Pro memadai mengikut pendapat kami dengan pelbagai pilihan sambungan antaramuka yang boleh dipilih mengikut keperluan pengguna. Onyx Pro menyokong THX Spatial Audio dan paparan keluar resolusi 4K.

Prestasi

Dari segi prestasi, Onyx Pro tidak menghampakan dan berfungsi seperti yang sepatutnya. Dengan cip pemprosesan yang pantas dan digabungkan dengan kad grafik NVIDIA RTX 2070 max-P, ia adalah kombinasi yang mantap untuk pelbagai tugasan dari segi penyuntingan 4K mahupun gaming dengan permainan hunger graphic. Untuk ulasan penuh mengenai kemampuan Onyx Pro ini, nantikan video ulasan kami pada sedikit masa sahaja lagi.

Keseluruhan

Secara ringkasnya, Onyx Pro menawarkan hampir semua fungsi dan spesifikasi yang anda boleh harapkan untuk mesin berprestasi tinggi namun harga jualan juga memainkan peranan besar dalam penentuan pembelian sesebuah peranti. Onyx Pro dengan harga permulaan RM 6,499.00. Namun bukan itu sahaja, Illegear sedang mengadakan promosi Tahun Baru yang berlangsung sehingga 18 Januari ini. Hadiah dan naik taraf sehingga RM 625.00 menanti pengguna yang membelinya dalam tempoh promosi ini. Untuk mengetahui lebih lanjut atau melihat produk-produk lain yang ditawarkan oleh Illegear, layari laman sesawang Illegear.