Illegear Membuka Bilik Pameran Konsep Pertama Mereka Di Malaysia

Jenama komputer Illegear telah membuka lembaran baru dengan pelancaran secara rasmi ruang pameran pertama Illegear di Oval Damansara. Jenama komputer custom made ini memulakan perjalanan mereka pada 2011 oleh Encik Chin Jiun How dan bermatlamat untuk menyediakan jenama komputer riba yang boleh dimodifikasi serta berprestasi tinggi kepada pengguna negara ini.



Kini produk mereka bukan sahaja mendapat perhatian pemain permainan komputer tegar malah pengguna-pengguna profesional dari bidang kreatif seperti pereka 3D, penyunting video, dan penyedia kandungan multimedia mula mempercayai jenama Illegear.

Illegear menawarkan komputer riba dari pelbagai segmen dan kelas. Produk terbaru mereka iaitu Laguna SE menampilkan rekaan kerangka terkini dengan spesifikasi yang mantap. Ia dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Core i7-9750H dan kad pemprosesan grafik Nvidia sehingga RTX 2070 Max-P.



Bukan sahaja komputer riba, Illegear menawarkan produk desktop  seperti Poseidon dan Raider dan kini boleh dilihat dan dirasai pengunjung di Oval Damansara. Ruang pameran ini juga bertindak sebagai pusat servis kepada pengguna Illegear sedia ada untuk melakukan baik pulih komputer mereka.