Ikuti Langkah Ini Untuk Elakkan Kata Laluan Apple ID Dicuri Aplikasi iOS

Sebelum ini heboh diperkatakan mengenai iPhone mampu merakam tanpa pengetahuan anda jika diberi kebenaran pada kamera, mengesan lokasi serta mengambil foto dan video secara diam-diam.

Selepas mendedahkan masalah diatas, Felix Krause, penyelidik keselamatan kini tampil dengan isu yang baru. Beliau menjelaskan bahawa jika anda tidak berhati-hati, sebarang aplikasi iOS yang dipasang pada iPhone boleh mencuri Apple ID anda.

Menurut Krause, mana-mana aplikasi berniat jahat boleh meniru kotak dialog kata laluan Apple seperti yang tertera diimej bawah.

Kapsyen: Disebelah kiri tetingkap dialog asli.
Disebelah kanan tetingkap dialog palsu.


Sebagai pengguna iPhone dan iPad anda sudah semestinya selalu diminta untuk memasukkan kata laluan Apple ID bukan? Oleh sebab itu anda harus berhati-hati kerana, jika terleka kata laluan Apple ID anda boleh dicuri melalui tetingkap dialog palsu tersebut.

Sukar untuk membezakan yang mana asli dan palsu tetapi ada cara mudah untuk mengenal pasti perkara itu. Caranya adalah apabila tetingkap dialog meminta kata laluan Apple ID muncul, anda perlu tekan BUTANG HOME untuk tutup aplikasi tersebut. Sekiranya aplikasi itu ditutup dan tetingkap dialog itu turut hilang, bermakna ia palsu.

Hal ini kerana tetingkap dialog asli dari Apple tidak akan hilang selagi anda tidak menekan butang Sign In atau Cancel.

Apple App Store seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap serangan phishing ini kerana terdapat banyak aplikasi berniat jahat yang berada di dalamnya berdasarkan pemerhatian dari Krause.

Sumber: Lifehacker