Idea Dan Ciptaan Teknologi Terbaik Sepanjang Zaman - YouTube

Untuk artikel pertama bagi siri terbaru yang berjudul "Idea-Idea Dan Ciptaan Terbaik Sepanjang Zaman", penulis memilih YouTube untuk dikongsikan bersama pembaca.

YouTube merupakan platfom audio/video yang telah merevolusi cara kita menonton televisyen.

YouTube secara rasminya bermula pada 24 April 2005 dahulu apabila klip video pertama berjudul "Me at the zoo" dimuat naik ke dalamnya.

Video yang hanya sepanjang 18 saat itu dimuat naik oleh pembangun bersama YouTube iaitu Jawed Karim.

https://www.youtube.com/watch?v=jNQXAC9IVRw

Jika sebelum ini pengguna internet perlu mencari sesuatu video di laman-laman sesawang tertentu atau menerusi platfom servis perkongsian fail, tetapi dengan kemunculan YouTube, pengguna hanya perlu melayari laman YouTube bagi mengakses semua kandungan video yang dimahukan.

Mungkin sebahagian dari kita tahu YouTube kini dimiliki oleh Google. Tetapi pada asalnya, YouTube hanyalah platfom klip video biasa yang popular di Amerika.

Tetapi selepas Google membeli YouTube pada harga USD1.65 bilion pada tahun 2006, populariti YouTube terus naik mendadak di seluruh dunia.

Populariti YouTube turut dibantu dengan kemampuan orang ramai untuk memiliki kamera video mereka sendiri menerusi kehadiran pelbagai pilihan kamera dan harga kamera video yang semakin murah dan mampu dimiliki ketika itu.

YouTube pula menjadi pilihan utama untuk pengguna memuat naik video-video mereka ke internet kerana ia percuma dan mudah digunakan.

Tidak sekadar untuk berkongsi video-video yang dihasilkan, YouTube juga kini menjadi lubuk utama kepada para pembangun kandungan video bagi menjana pendapatan.

Tidak hanya memberi untung kepada pembangun kandungan, YouTube juga menjadi antara penyumbang terbesar kepada perolehan keuntungan Google di mana pada tahun 2019 lalu, YouTube menjana sehingga USD15.15 bilion menerusi servis pengiklanan sahaja.

Apa yang dapat disimpulkan adalah pengaruh YouTube adalah begitu besar. Ia bukan sahaja mengubah cara pengguna mengkases video, tetapi juga mengubah syarikat-syarikat media dan pengiklanan beralih cara memasarkan produk-produk mereka.

Lihat sahaja syarikat-syarikat penyiaran utama di Malaysia seperti TV3 yang kini menggunakan YouTube sebagai platfom untuk mereka menyampaikan berita dengan lebih luas dan pantas kerana ia lebih mudah diakses oleh orang ramai walau di mana sahaja mereka berada selagi kawasan itu memiliki capaian internet.

Kesimpulannya, walaupun selepas 15 tahun, YouTube terus merevolusi cara pengguna di seluruh dunia melayari World Wide Web (WWW).

Sumber: YouTube, HuffPost, The Ringer, Alexa, Statista, CNBC

P/s: Sedikit fakta-fakta menarik tentang YouTube:-

  • Walaupun pembelian YouTube oleh Google tersenarai sebagai salah satu pembelian terbaik dalam industri teknologi, tetapi Google mengakui bahawa harga pembelian tersebut yang bernilai USD1.65 bilion sebagai terlalu tinggi.

  • YouTube merupakan laman sesawang kedua paling popular di dunia selepas Google.

  • Terdapat lebih daripada 31 juta saluran di dalam YouTube.

  • Pada tahun 2019, Ryan Kaji yang hanya berumur 8 tahun meraih pendapatan tertinggi di YouTube iaitu berjumlah USD26 juta.

  • Dalam tahun 2020, video berkaitan tutorial kecantikan adalah yang paling popular dikalangan pengguna YouTube yang lahir antara tahun 1946 dan 1964.

  • variasi judul video yang bermula dengan perkataan “beginner” ditonton lebih daripada 7 bilion ulang kali tahun lalu.

  • muzik video paling popular dalam tempoh 24 jam di YouTube menjadi milik grup popular dari Korea Selatan iaitu BTS. Muzik video mereka berjudul "Dynamite" telah merekodkan sebanyak 101.1 juta tontonan hanya dalam tempoh 24 jam pertama.

  • YouTube boleh diakses di lebih daripada 100 buah negara dalam 80 jenis bahasa.

  • Secara purata, YouTube membayar sebanyak USD18.00 bagi setiap 1000 paparan iklan.

  • Muzik video Baby Shark dari Pinkfong! Kid's Songs & Stories adalah muzik video paling popular di dunia ketika ini dengan merekodkan jumlah tontonan lebih daripada 7.6 bilion tontonan.

  • Pengguna aktif YouTube pada setiap bulan berjumlah lebih daripada 2 bilion pengguna.

  • Jumlah video YouTube yang ditonton dalam sehari adalah sebanyak 1 bilion video.

Berkaitan