Ibu Pejabat Razer Di Malaysia Kini Rasmi, Bakal Kembangkan Razer Pay Dan Arena E-Sukan Tempatan

Razer, jenama perkomputeran popular itu kini maju setapak lagi untuk pasaran tempatan dengan perasmian ibu pejabat syarikat tersebut hari ini.

Turut sama hadir pada acara itu, pengasas dan juga CEO Razer, Min-Liang Tan,  Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng dan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq.



Mempunyai lebih dari 280 orang kakitangan, ibu pejabat tersebut terletak di The Vertical yang berlokasi di Bangsar South.



 

 

Melalui pembukaan ibu pejabat ini, Razer akan membuat pelaburan dalam negara dan menjadikan Malaysia sebagai hub kepada teknologi kewangan (FinTech) sebelum diluaskan lagi ke negara Asia Tenggara yang lain.

Syarikat turut menyatakan aplikasi Razer Pay telah ditambah baik dari segi penggunaan dengan ciri baru seperti kupon dalam aplikasi dan pemesejan segera.

Antara jenama yang berkolaborasi dengan Razer; 7-Eleven yang menawarkan kupon RM5 serta Kenny Rogers dengan kupon bernilai RM10 kepada pengguna Razer Pay.

Kehadiran ibu pejabat Razer di Malaysia, bakal memacu arena e-sukan tempatan dengan perkongsian kepakaran dalam industri yang semakin meningkat naik itu.