Ibu Bapa Perlu Menjadi Contoh Kepada Anak-Anak Dalam Penggunaan Gajet

Mana lebih penting, anak atau gajet?


Berikutan isu semasa berkenaan penggunaan gajet yang membimbangkan dikalangan ibu bapa, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan menzahirkan kebimbangan dengan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka Low Chee Leong berkata,  fenomena ibu bapa hari ini yang lebih banyak meluangkan masa mengakses internet atau bermain permainan di telefon pintar menyebabkan aktiviti bersama keluarga makin berkurangan.

Beliau menegaskan, ibu bapa sebaliknya perlulah lebih meluangkan masa dan berkomunikasi dengan anak-anak mereka dan tidak memberikan pula gajet kepada anak-anak mereka bagi menenangkan mereka jika anak-anak itu menangis. Sebaliknya adalah lebih baik dengan memberikan permainan yang lebih sesuai kepada anak kecil.

Beliau menambah, ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik dalam penggunaan peranti digital bagi mengelakkan anak-anak mereka menjadikan teknologi itu sebagai medium rujukan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Mengulas lanjut, Low berkata penggunaan internet yang terlalu lama hanya akan mendedahkan anak-anak kepada pelbagai maklumat atau perkara yang tidak sihat.

Sebaliknya, pelbagai aktiviti rekreasi dan riadah boleh dilakukan ibu bapa bersama anak mereka bagi mengelak mereka mengakses internet terlalu lama.

Anak-anak yang terdedah terlalu lama dengan dunia maya boleh memberikan kesan negatif  seperti kekurangan kemahiran komunikasi dan pergaulan mereka dengan orang sekeliling sehingga mereka tanpa sedar mewujudkan dunia mereka sendiri.

Sumber: Bernama