Huawei, Xiaomi Dan OPPO Berminat Guna Sistem Pengecaman Wajah Untuk Telefon Keluaran 2018

Sistem pengecaman wajah nampaknya mula mendapat perhatian oleh pengeluar telefon pintar. Syarikat gergasi seperti Samsung dan Apple telah berjaya menghasilkannya dan kini, pesaing lain turut dikatakan mahu melengkapkan peranti mereka dengan sistem keselamatan tersebut.

Berdasarkan khabar angin, tiga syarikat yang berpengkalan dari China sedang mempertimbangkan penggunaan sensor pengimbas wajah untuk keluaran 2018, iaitu Xiaomi, OPPO dan juga Huawei.

Memetik laporan dari Digitimes, Xiaomi dan OPPO akan bekerjasama dengan tiga lagi syarikat dalam membangunkan teknologi itu. Syarikat yang dimaksudkan adalah Himax Technologies dan Qualcomm akan menyelesaikan masalah mengimbas wajah manakala sensor akan dibangunkan oleh Truly Opto-Electronics. Ia dipercayai akan dihasilkan sekitar bulan Mac dan April tahun hadapan.

Sementara itu, Huawei pula dilapor menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat yang berpengkalan di China, Sunny Optical Technology. Gandingan dua syarikat tersebut akan membangunkan teknologi berkaitan sensor 3D yang akan melengkapi model utama mereka.

Ketiga-tiga syarikat ini merupakan antara 5 pengeluar terbesar di China pada suku ketiga 2017. Huawei mendahului dengan 40 juta unit, diikuti dengan Xiaomi 23 juta unit dan OPPO memasarkan 2o juta unit.

Sumber: Digitimes