Huawei WiFi AX3, Router Dengan Sokongan WiFi 6 Berharga RM299

Mengemaskini penawaran sedia ada, Huawei Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan kehadiran Huawei WiFi AX3. Router ini menyokong standard rangkaian WiFi terbaharu iaitu 802.11ax ataupun lebih mesra dipanggil sebagai Wi-Fi 6.

Model ini ditandakan dengan harga RM299 yang mana pra-tempah akan dimulakan pada 7 Julai 2020. Jualan pertama pula akan dilangsungkan pada 10 Julai 2020.



Selain sokongan Wi-Fi 6, router ini mempunyai ciri menarik iaitu sokongan NFC melalui Huawei Share. Dengan ciri ini, telefon pintar Android yang mempunyai NFC tidak lagi perlu memasukkan kata laluan secara manual. Cukup sekadar sentuh pada bahagian NFC router, dan peranti pintar akan terus bersambungan dengan rangkaian WiFi.



Dari segi port sambungan ia menyediakan 3x port LAN, 1x port WAN dan hadir dengan berat sekitar 403g. Ia mampu menyampaikan kelajuan rangkaian 2.GHz pada 574Mbps sementara frekuensi 5GHz pada 2401 Mbps.

Lain-lain spesifikasi yang terdapat Huawei WiFi AX3 adalah cip pemproses Gigahome empat teras 1.4GHz dan ia boleh menyokong akses dari 128 peranti untuk kedua-dua frekuensi dalam satu-satu masa.