Huawei Vision S - Visual Dan Audio Baik Tapi Belum Boleh Puaskan Hati

Sejujurnya bila lihat pada pasaran telefon pintar di Malaysia, telefon pintar dari Huawei boleh kita simpulkan semakin sendu.

Bukan kerana spesifikasi yang lemah, bukan kerana harga yang mahal, tetapi kerana tidak didatangkan dengan sokongan GMS.

Kita semua masih perlukan Gmail, YouTube dan lain-lain aplikasi Google. Tanpa sokongan kepada aplikasi ini, telefon pintar Huawei ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Mungkin dikemam sahaja yang termampu saat ini.



Pun begitu, tawaran produk lain seperti komputer mereka bolehlah dikatakan diterima baik sebahagian besar pengguna Malaysia. Terutama sekali pada julat harga sekitar RM3000 hingga RM2500.



Mungkin mahu meletakkan kembali nama Huawei di hati pembeli tempatan, gergasi China itu tampil memperkenalkan Huawei Vision S.

Mudah cakap ia sebuah TV pintar dan yang menariknya, ia hadir sekali dengan ciri kamera. Namun, Huawei nampaknya memilih untuk memasarkannya sebagai sebuah "skrin pintar" dan tidak menggelarkannya sebagai TV pintar.



Apa yang menarik tentang penawaran kali ini, jom kita lihat satu persatu.

Malaysia paling awal dapat


Anda rasa orang kita tidak lagi bernafsu melihat produk Huawei? Tetapi syarikat ini mungkin mempunyai pendapat lain dimana Malaysia merupakan negara pertama untuk pasaran global (luar China) yang menerima kedatangan Huawei Vision S ini secara rasmi.

Sudah diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini di Malaysia, Huawei Vision S boleh didapati pada harga bermula RM2999 sehinggalah RM3999. Perbezaan harga ini adalah mengikut saiz yang ditawarkan iaitu 55 inci dan 65 inci. Komponen dalamannya masih sama.

Kemasukan secara rasmi ini juga menjadikannya sebagai peranti Huawei pertama di Malaysia yang menjalankan sistem operasi Harmony OS.

Spesifikasi

  • Cip Honghu 818

  • Sistem Harmony OS

  • RAM 3GB

  • Storan 32GB

  • Sambungan: Bluetooth 5.1, 802.11 b/g/n (2.4 GHz), 802.11 a/ac/n (5 GHz)

  • Saiz paparan 65 inci dan 55 inci.

  • Resolusi 3840 x 2160

  • Kadar segar semula 120Hz

  • Sudut pandang 178 darjah dengan kecerahan sehingga 350nits

  • Audio sokongan Dolby Atmos dan Huawei Histen.

  • Sokongan kuasa 230W

  • Kamera hadapan magnetik

  • 19kg termasuk tapak

  • Port sambungan: 1x USB, 3x HDMI, 1x AV, 1x LAN, 1x SPDIF


Huawei Vision S ini bukanlah skrin pintar pertama dari Huawei dimana sebelum ini mereka sudah mempunyai barisan siri Huawei Vision. Contohnya siri X dan siri V tetapi siri S kali ini adalah yang pertama menjalankan sistem operasi Harmony OS.



Kami berkesempatan mencuba produk terbaharu ini buat beberapa ketika. Apa yang membantutkan pengalaman penggunaan adalah unit yang kami terima adalah model dari China. Bermaksud ada beberapa fungsi yang hanya terhad untuk pengguna di Tanah Besar sana.

Apahal nak beli TV dari Huawei?


Ini soalan pertama yang diterima dari seorang rakan. Ya, berlambak lagi jenama TV yang lebih terbukti bagus dikedai-kedai mahupun Shopee atau Lazada. Dari semurah-murah harga hinggalah kepada yang menggegar tujuh lapisan langit.

Pertama sekali ia bukanlah spesis TV, kerana tidak mempunyai TV tuner yang membolehkannya menerima isyarat siaran dari stesen penyiaran.

Kalau nak dibandingkan secara mata kasar, tiada perbezaan ketara rekaan Huawei Vision S  ini dengan TV lain diluar sana. Kecuali, terdapatnya fungsi kamera magnetik pada bahagian atas.Boleh pasang dan cabut sesuka hati.

Secara jujurnya bila kamera 13MP ni terpasang dan tidak digunakan, ia memberikan rasa 'pelik', tak sedap hati dan apa-apa lagi perasaan yang sewaktu dengannya. Rasa seperti 'diintai'.



Tetapi mengenangkan kami bukanlah orang kenamaan mahupun golongan kayangan yang ada faedah untuk diintip, biarkan sahaja kamera itu terjojol keluar.

Antara kegunaan kamera magnetik adalah untuk fungsi MeeTime (1080p) iaitu aplikasi panggilan video dari Huawei. Senang cakap macam Facetime di iPhone. Logo pun dah nak sama hijau-hijau tu. MeeTime hanya tersedia pada peranti Huawei yang lain.



Bermakna anda hanya boleh membuat panggilan video kepada peranti Huawei seperti siri Mate 40, P40 dan MatePad Pro. Selain daripada itu, anda hanya boleh ber 'huhu' seorang diri.

Selain daripada itu anda boleh juga gunakan ia pada aplikasi WeLink Meeting. Bagus, memandangkan kita semua berada dalam situasi pandemik. Ramai yang bekerja dari rumah (BDR).



Anda juga boleh merakam gambar ataupun video secara terus dan simpan pada skrin pintar ini. Namun untuk muat naik terus ke media sosial, terpaksa pindahkan dahulu ke telefon pintar.

Jadikan hub untuk semua perkakasan rumah pintar Huawei


Apalah guna sekiranya saiz besar tetapi terhad kepada paparan sahaja. Oleh yang demikian, Huawei menyediakan ciri AI Life pada skrin ini.



Ia dijadikan sebagai sebuah hub untuk berhubung atau mengakses peranti rumah pintar anda. Contoh seperti loceng, kamera pengawasan, penapis udara dan lain-lain. Jimat sedikit masa berbanding anda pergi ke setiap peranti untuk memeriksa.

Kualiti skrin sangat bagus dan ada kadar segar semula 120Hz


Perkara paling penting bagi sesebuah skrin mahupun TV adalah kualiti paparannya. Sepanjang penggunaan, kami berpendapat skrin dari jenis LCD ini berjaya meraih pujian dari kami.

Ia menyokong gamut warna sehingga 92% DCI-P3 serta kadar segar semula 120Hz. Jika anda mahu mainkan permainan video dengan paparan seluas mata memandang ini dan kualiti paparan yang baik, mudah kami kata yang mana model ini memang sesuai. Sambung sahaja ke konsol Xbox atau PlayStation dan nikmati permainan lebih jelas dan bermutu. PC pun boleh.



Kandungan dipaparkan dengan baik sekali dari segi kejelasan, ketajaman dan kecerahan. Bersama-sama sokongan 4K, berani kami katakan ia antara tawaran berbaloi pada julat harga ini.

Baik juga pada audio


Apalah guna cantik di mata kalau sumbang ditelinga, betul? Untuk tidak mencacatkan kemampuan visual, Huawei menyertakan dua pembesar suara 10W frekuensi penuh dan dua 10 W tweeter.

Audio dia jelas, seimbang dan tidak bingit walaupun pada tahap kelantangan tertinggi. Ya, sudah memadai untuk organ pendengaran kita. Mainkan sahaja lagu, kepala mula terhangguk-hangguk ibarat tiada masalah dalam hidup, tanda audio yang dipancarkan baik.

Fungsi ini tiada pada model yang dijual di Malaysia


Seperti yang sudah diceritakan awal tadi, unit yang diberikan kepada kami ini adalah unit pasaran China. Ada sesetengah fungsi dan ciri yang tidak boleh digunakan.



Salah satu daripadanya adalah AI Fitness dimana anda boleh beriadah atau bersenam mengikut video tenaga pengajar yang disediakan.

Apa lagi ciri yang ada pada Huawei Vision S?


Antara ciri-ciri menarik yang dilengkapkan pada skrin pintar ini adalah OneHop Projection. Ia membolehkan anda pancarkan kandungan dari telefon pintar Huawei secara terus ke paparan gergasi ini. Kandungan berjalan dengan baik dan lancar sepanjang penggunaan kami. Boleh tahan smooth juga la.



Andai kata anda terlupa dimana letaknya alat kawalan jauh, jangan risau kerana boleh gunakan telefon pintar untuk menggantikannya. Melalui ciri Mirror Control kawalan paparan skrin dilakukan dengan lebih mudah.



Cuma sesekali seperti kurang responsif, tetapi tidak ke tahap mengganggu pengalaman keseluruhan. Lebih menarik lagi, anda boleh gunakan juga telefon pintar sebagai alat kawalan permainan.

Apa yang kurang?


Mungkin nampak hampir sempurna, tetapi melihatkan kepada sistem operasi yang dijalankan iaitu HarmonyOS, kita boleh katakan kebanyakan aplikasi tidak disokong.

Contoh mudah seperti YouTube, Netflix dan Spotify, tiga aplikasi yang hampir kebanyakan pengguna di Malaysia gunakan. Ya ada sesetengahnya boleh di sideload, tetapi tidak boleh digunakan secara optimum. Bila boleh ia terkeluar, tidak boleh tekan dan lain-lain kerenah.

Huawei menyediakan beberapa alternatif lain seperti Huawei Video, Huawei Music tetapi kandungannya tidak semeriah aplikasi-aplikasi yang kita gunakan diatas.


Beli atau tidak?


Dari segi prestasi visual dan audio, boleh kami katakan ia terbaik. Paparan 4K, kadar segar semula 120Hz dan lain-lain bukan sekadar angka untuk mengghairahkan mata pengguna tetapi ia diterjemah kepada rasa kepuasan.

HarmonyOS, sekali guna ia merupakan sistem yang kemas, mesra pengguna di beberapa bahagian. Namun secara keseluruhan dengan ketiadaan sokongan kepada banyak aplikasi membuatkan ia sukar untuk ditelan.

Dijual pada harga RM3999 untuk saiz 65 inci dan RM2999 55 inci, sebahagian daripada kita mungkin rasakan "boleh beli ni". Tetapi perlu diingat, anda memerlukan telefon pintar Huawei dan lain-lain perkhidmatan dari mereka yang agak terhad untuk pasaran Malaysia.