Huawei Umum Laptop Mampu Milik Matebook D 14 Dan D 15 - Pilihan Sama Ada Intel Gen-10 Atau AMD Ryzen


Selain siri laptop flagship Matebook X Pro, Huawei juga turut melancarkan Matebook D 14 dan D 15. Jika anda mengikuti perkembangan produk ini, anda pasti tahu laptop-laptop ini telah pun dilancarkan di China sebelum ini dan baru sekarang ia diumumkan untuk pasaran global.





Siri Matebook D 14 dan D 15 merupakan penawaran mampu milik dari Huawei. Bermula dengan cip pemprosesan, terdapat 2 pilihan iaitu Intel Core dengan cip i5-10210u / i7-10510u atau pun AMD Ryzen 3500u.









Untuk grafik pula bergantung kepada pilihan iaitu Nvidia MX250 untuk Intel dan Radeon Vega 8 untuk AMD.





Paparan D 15 bersaiz 15.6 inci manakala D 14 pula pada 14 inci. Dari segi resolusi, kedua-duanya berkongsi jumlah pixel yang sama iaitu 1920 x 1080 FullHD dengan nisbah 16:9.









Walaupun siri D Matebook lebih disasarkan kepada golongan mampu milik, ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri yang sama terdapat pada siri Matebook X Pro yang lebih mahal seperti pengimbas cap jari pada butang kuasa dan juga binaan kamera web tersembunyi pada papan kekunci.









Untuk konfigurasi memori, ia dimuatkan dengan 8GB RAM serta pilihan bermula 256GB SSD (D 15 sahaja, D 14 bermula pada 512GB). Namun, sedikit kelebihan pada D 15 kerana ia mampu untuk menambah storan HDD.





Sebaliknya pula untuk bahagian bateri, disebabkan sebahagian ruangan D 15 telah diambil alih oleh HDD, bateri hanyalah bersaiz 42Wh sahaja. Berbanding dengan D 14, baterinya lebih besar dengan 56Wh.





Dengan saiz kerangka yang berbeza juga, D 15 mempunyai 3 port USB-A sedangkan hanya terdapat 2 sahaja port tersebut untuk D 14.





  • USB-C
  • USB-A x3 (D 15), USB-A x2 (D 14)
  • HDMI
  • Bicu Audio 3.5mm








Menariknya, pengguna juga boleh mengecas laptop menggunakan port USB-C menjadikan pengguna hanya perlu membawa satu kabel sahaja untuk mengecas telefon pintar dan juga laptop.









Selain itu, terdapat juga perisian Microsoft Office 365 yang sudah tersedia dipasang secara percuma. Huawei Matebook D 14 dan D 15 masing-masing dijual bermula 649 euro (~RM2986) dan 699 euro (~RM3216) dalam pilihan warna Mystic Silver dan Space Grey.