Huawei Umum Cip Kirin 820 5G - Pengganti Kirin 810 Dengan Prestasi GPU 38% Lebih Berkuasa

Jika Qualcomm hadir dengan cip terkini untuk kelas pertengahan Snapdragon 765G, Huawei juga pun ada produk untuk bersaing dengannnya. Untuk kategori flagship Huawei sudah ada Kirin 990 5G sebagai produk apex dalam portfolio cip mereka, untuk kelas pertengahan pula, ia diberikan kepada Kirin 820 5G yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini di China.


CPU


Dari segi prestasi keseluruhan, ia merupakan sedikit sahaja kemaskini berbanding Kirin 810 sebelum ini. Terdapat perbezaan utama dari segi pecahan kluster di mana Kirin 820 5G mempunyai 3 kluster dengan 1 teras Cortex-A76 (2.36GHz), 3 teras Cortex-A76 (2.22GHz), dan 4 teras jimat tenaga Cortex-A55 (1.84GHz).

  • Kirin 810: 8 teras, 2 kluster = 4 (Cortex-A76, 2.22GHz) + 4 (Cortex-A55, 1.84GHz)

  • Kirin 820 5G: 8 teras, 3 kluster CPU = 1 (Cortex-A76, 2.36GHz) + 3 (Cortex-A76, 2.22GHz) + 4 (Cortex-A55, 1.88GHz)


Grafik


Bahagian grafik pula menerima peningkatan sehingga 38% berbanding Mali-G52 pada Kirin 810 dengan penggunaan pemproses grafik dari Mali-G57. Bersama-sama dengan GPU ini, ia turut membawakan fungsi permainan GPU Turbo dan juga Kirin Gaming+ 2.0. Selain itu, pemprosesan neural pada Kirin 820 juga adalah lebih maju. Ia kini 73% lebih berkuasa dari segi prestasi AI berbanding Kirin 810.

  • Kirin 810: 6 teras ARM Mali-G52

  • Kirin 820 5G: 6 teras ARM Mali-G57




 

Pemprosesan Signal Imej (ISP)


Antara perkara yang diberi perhatian dalam Kirin 820 5G adalah bahagian ISPnya juga turut dikemaskini. Ia kini mempunyai Kirin ISP 5.0 iaitu ISP yang sama seperti terdapat dalam Kirin 990/5G. Dengannya ia mampu menyokong rakaman video sehingga 4K pada 60fps.

  • Kirin 810: Kirin ISP 4.0

  • Kirin 820 5G: Kirin ISP 5.0


Selari dengan namanya, cip ini turut juga menyokong rangkaian 5G. Modem 5G adalah sama yang dimuatkan dalam cip Kirin 990 iaitu Balong 5000 dan menyokong dwi-mod 5G iaitu SA dan NSA.

Cip ini ditujukan secara terus untuk bersaing dengan Snapdragon 765G. Untuk peranti yang akan menyokongnya, Honor 30S yang bakal menjadi peranti pertama dengan cip ini.

Sumber: xda-developers

 

Berkaitan