Huawei Sound X - Pembesar Suara Premium Dari Huawei

Jenama-jenama teknologi terkemuka semuanya sudah sedia menawarkan pembesar suara pintar mereka. Apple ada Homepod, Google dengan Google Home, Amazon dengan Alexa dan kini, Huawei pula memperkenalkan Huawei Sound X.



Tidak perlu pandang spesifikasi dahulu, luarannya saja sudah cukup menarik perhatian. Berbentuk seperti silinder dengan kemasan hitam berkilau, ia boleh melengkapkan ruangan rumah anda yang bergaya moden itu. Namun begitu ada kekurangan satu perkara.
Menyokong teknologi Push-Push dari Devialet

Merupakan pembesar suara pintar pertama daripada Huawei, ia dibangunkan dengan kerjasama jenama audio terkemuka Perancis, Devialet. Anda mungkin kurang mengenali Devialet tetapi pasti pernah terbaca atau menonton video berkenaan pembesar suara mereka Gold Phantom yang bernilai lebih kurang ~RM12,000.

Jalinan antara kedua-dua ini membawakan teknologi Push-Push pada Huawei Sound X. Melalui teknologi Devialet itu, ia membantu mengurangkan getaran pada pembesar suara dan dalam masa yang sama menyalurkan bunyi bass yang terbaik.

Pembesar suara ini dimuatkan dengan 2 unit woofer dan 6 unit pembesar suara. Dua unit woofer itu diletakkan pada bahagian atas sementara enam pembesar suara berada dibawah, memancarkan audio ke sekeliling ruang sehingga 360' darjah. Huawei Sound X hadir dengan dimensi 165mm x 203mm serta seberat 3.5kg.



Bahagian bawah Huawei Sound X dilindungi dengan tekstur kain dan dikatakan ia mempunyai ketahanan air. Namun begitu, pengeluar tidak menyatakan secara spesifik tahap ketahanan tersebut iaitu sama ada mempunyai pensijilan IP ataupun tidak.


Paparan LED untuk kawalan secara sentuhan

Kawalan untuk Huawei Sound X berada pada atas peranti dengan ciri sentuhan. Paparan LED berwarna itu menyediakan kawalan laras bunyi audio, mute serta butang menu. Apabila menu disentuh, arahan suara berbahasa Mandarin yang kedengaran. Mungkin model awal yang kami terima ini adalah untuk pasaran China.



Ia juga disediakan ciri kawalan gerak isyarat yang mana apabila penggunakan meletakkan tapak tangan pada bahagian atas peranti, audio akan dihentikan.



Ciri ini menarik lebih-lebih lagi ketika anda menerima panggilan dan mahukan audio dimatikan dengan lebih pantas.
Pembesar suara tanpa wayar

Sambungan kepada peranti lain seperti telefon pintar hanya dibuat tanpa wayar. Pilihan yang ada adalah Bluetooth 5.1 serta ciri NFC. Mana-mana peranti yang mempunyai NFC boleh dipadankan dengan Huawei Sound X dengan satu sentuhan sahaja.



Audio dipancarkan melalui 2 buah woofer (60W) dan 6 buah pembesar suara. Woofer tersebut menggunakan teknologi Push-Push dari Devialet. Dengan adanya ciri tersebut, ia membenarkan audio lebih tinggi dimainkan pada Huawei Sound X tanpa gangguan getaran. Untuk melihat pengurangan getaran itu, kami meletakkan cawan diatas pembesar suara. Dilihat air kekal tenang walaupun audio dilaras pada tahap yang agak lantang.

Dari segi kualiti, audio yang dihasilkan sangat baik dengan bunyi bass cukup nikmat di telinga. Frekuensi bass dikatakan boleh pergi serendah 40Hz. Pembesar suara ini juga mampu mengesan halangan di sekitar. Contoh seperti dinding dalam jarak , dimana audio akan diselaraskan untuk dipancarkan ke ruangan lain.  Mudah kata ia sebuah pembesar suara tanpa wayar yang baik.

Namun begitu, Huawei Sound X dipasarkan sebagai sebuah pembesar suara pintar. Tetapi untuk pasaran luar dari China, ia tidak mempunyai ciri arahan suara.

Ini menjadikannya sebagai sebuah pembesar suara pintar yang kurang ciri "pintar". Merupakan satu kekurangan yang besar, tetapi dikatakan juga ciri itu mungkin hadir melalui kemaskini perisian pada masa akan datang. Ketika ini ia hanya kelihatan sebagai sebuah pembesar suara Bluetooth sahaja.
Rekaan premium dijual pada harga premium

Bukan sahaja datang dengan reka bentuk premium, Huawei Sound X turut berkemampuan untuk menyampaikan audio yang berkualiti. Mempunyai kawalan sentuhan yang berfungsi baik, ia sebuah pembesar suara yang sesuai untuk anda.

https://www.youtube.com/watch?v=DCiVQRcmQEU

Tetapi atas sebab kekurangan ciri arahan suara, harga RM1299 mungkin dirasakan agak keras untuk sebahagian daripada kita. Dengan harga sedemikian, anda mungkin boleh mendapatkan pembesar suara yang lebih baik spesifikasinya.



 

Sebelum terlupa, sekiranya anda memilih untuk memiliki Huawei Sound X ia akan disediakan dengan sarung pelindung, pengecas 65W serta kain mikrofiber.

Beli Huawei Sound X di:

Lazada: https://invol.co/clowc3

Shopee: https://invol.co/clowc6