Huawei Dilihat Menyindir Samsung Galaxy S10 Disamping Mempromosikan Siri P30

Tahun lalu, Huawei mengejutkan kita semua apabila berjaya memintas Apple buat pertama sekali dalam pengeluaran telefon pintar untuk suku kedua 2018.

Namun begitu, bagi pengeluaran sepanjang 2018 pula memperlihatkan Samsung dan Apple masih kekal mendominasi pasaran, sementara Huawei kekal mengekori rapat ditangga ketiga sepertimana yang digarap dari laporan IDC.

Jika minggu lalu kita telah melihat Samsung memperkenalkan siri Galaxy S dan Galaxy Fold , semalam kita telah dihidangkan dengan pengumuman Huawei berkenaan telefon pintar boleh lipat mereka. Tetapi, terdapat satu lagi majlis pelancaran yang ditunggu-tunggu ramai iaitu Huawei P30, dijadualkan berlangsung pada 26 Mac depan.

Bagi mempromosikan peranti flagship terbabit, Huawei telah berkongsikan beberapa video acah dan ia dilihat umpama menyindir Samsung Galaxy S10.



Seperti yang boleh dilihat pada video diatas, ia menunjukkan huruf "S" (didakwa merujuk kepada siri Galaxy S) yang ditebalkan pada perkataan "Standard". Seterusnya, perkataan yang menggunakan awalan "P" pula silih berganti, menggambarkan ciri yang terdapat pada siri P dari syarikat pengeluar China itu.

Menguatkan lagi perkara ini adalah latarbelakang video sangat mirip dengan poster pelancaran Galaxy S10.



Satu lagi perkongsian menyindir tentang tetapan 3 kamera yang baru sahaja tampil pada keluaran Samsung terbaru ini.