Huawei P40 Pro Raja Baharu Kamera DxOMark - Peroleh Skor Tertinggi Baik Kamera Belakang Mahupun Swafoto

Dilancarkan beberapa hari lalu, siri Huawei P40 menjadi perhatian ramai disebabkan penawaran spesifikasi kamera antara yang terbaik pernah dimuatkan. Dengan 3 model yang hadir dalam siri tersebut, salah satunya iaitu Huawei P40 Pro telah diuji oleh pihak DxOMark untuk mengetahui prestasi kameranya.

Jadi dengan hasil ujian, ia berjaya mendapatkan skor sebanyak 128 yang merupakan skor tertinggi pernah direkodkan untuk kategori peranti pintar. Sebelum ini, OPPO Find X2 Pro dan Xiaomi Mi 10 Pro telah berkongsi kedudukan teratas carta dengan skor 124. Jadi dengan markah baharu yang lebih tinggi diperoleh oleh P40 Pro, ia layak mengungguli carta DxOMark mengekalkan tradisi peranti Huawei sebagai antara jenama yang terbaik dalam prestasi kameranya.



Melalui ujian DxOMark, jika dipecahkan kepada sub skor, untuk markah Photo, P40 Pro berjaya memperoleh skor sebanyak 140. Skor ini juga merupakan skor Photo tertinggi pernah direkodkan oleh DxOMark. Menurut mereka, ini adalah kekuatan kualiti gambar yang diambil oleh P40 Pro:

  • Julat dinamik yang sangat luas

  • Butiran yang bagus pada jarak medium ke jauh

  • Autofokus yang pantas, tepat yang konsisten dalam semua situasi

  • Keseimbangan tekstur dan hingar

  • Exposure yang tepat pada waktu malam

  • Tangkapan bokeh punyai butiran yang bagus


Namun begitu, masih juga terdapat beberapa kelemahan utama seperti:

  • Janaan warna dan white balance yang kadang-kadang kurang tepat.

  • Kadang-kadang gambar mengalami underexposure di bawah cahaya terang

  • Kekurangan butiran pada bahagian muka dan hingar chroma pada waktu malam


Bahagian Video juga menerima 105 iaitu skor tertinggi pernah direkodkan. Secara keseluruhan, video yang dirakam oleh Huawei P40 Pro mempunyai penstabilan yang sangat efektif, warna yang cantik, autofokus yang tepat dan pantas dan juga julat dinamik yang tinggi.

Menariknya juga kamera swafoto peranti ini juga merupakan yang terbaik dengan skor 103 yang juga skor terbaik dalam Carta DxOMark.



Huawei P40 Pro dilengkapi dengan 4 lensa dengan tambahan satu sensor warna.

  • 50MP RYYB (f/1.9) utama OIS

  • 12MP (f/3.4) RYYB Periskop 5x zoom optikal dengan OIS

  • 40MP (f/1.8) sudut lebar lensa Cine

  • Lensa ToF untuk depth

  • Sensor warna




Ini bukan merupakan konfigurasi kamera yang terbaik dalam siri Huawei P40 kerana gelaran itu disandang oleh Huawei P40 Pro+ yang mempunyai sehingga 5 lensa kamera. Sehubungan dengan itu, jika Huawei P40 Pro sudah memperoleh skor yang tinggi sebegini, berapa pula skornya jika pihak DxOMark akan menguji model P40 Pro+ pula?

Sumber: DxOMark