Huawei Nova 3i - Ibarat Seorang Adik Yang Mengidolakan Abangnya

Industri telefon pintar pada masa kini nampaknya terlalu sibuk dek kerana desakan pasaran yang sentiasa mahukan teknologi baru dengan harga yang mampu milik. Mahu atau tidak, pengeluar perlu menyediakannya demi menjaga hati pelanggan.

Kepelbagaian pilihan yang ada di pasaran ketika ini memberi lebih dan lebih kesukaran kepada pelanggan untuk memilih peranti terbaik bagi kegunaan mereka. Namun, dengan model Nova 3i, Huawei berharap untuk dapat membantu mereka untuk membuat pilihan yang terbaik.

Diperkenalkan bersama model 'abang'nya, Huawei Nova 3, peranti ini hadir dengan Irish Purple, Hitam dan Putih. Untuk ulasan pada kali ini, kami di pihak WiserMy telah diberi peluang untuk mencuba model Nova 3i berwarna Irish Purple.

Jom saya kongsikan dengan anda pengalaman saya menggunakan peranti ini selama lebih kurang satu minggu.

Rekaan Luaran


Rekaan luaran bagi Huawei Nova 3i ini hampir sama dengan reka bentuk yang ada pada model Nova 3. Dengan panel plstik yang menyerupai kaca di belakang peranti, Huawei masih menggunakan rekaan dua tona warna iaitu warna ungu dan biru.



Sejak kejayaan Huawei P20 Pro edisi Twillight yang lalu, Huawei telah menggunakan rekaan yang hampir serupa pada beberapa model keluaran mereka selepas itu. Antaranya ialah Honor 10, Nova 3, Nova 2i dan Nova 3e.

Walaupun rekaan ini memang nampak cantik dan elegan, ia akan menjadi sedikit membosankan sekiranya rekaan ini terus digunakan dalam peranti-peranti Huawei di masa akan datang. Mungkin Huawei boleh mengguna semula warna Pink Gold yang menghiasi siri P20 selepas ini.



Berikutan status adik beradiknya dengan model Nova 3, maka rupa paras kedua-dua model ini tidak mempunyai banyak perbezaan. Cuma tulisan di bawah kamera utamanya sahaja berbeza iaitu 'DUAL LENS' untuk Nova 3i dan 'AI CAMERA' bagi Nova 3.

Di sebelah sisi kanan peranti, terdapat butang kawalan audio serta butang kuasa. Sisi bawahnya pula diletakkan pembesar suara, bicu audio dan port mikroUSB untuk tujuan pengecasan dan pemindahan data.



Beralih ke bahagian hadapan pula. Huawei Nova 3i menggunakan skrin paparan jenis IPS LCD 6.3-inci dengan resolusi FHD+. Rekaan takuk masih lagi menghantui peranti ini, sama seperti kebanyakan sama seperti peranti lain.

Takuk pada peranti ini lebih luas dan lebar berbanding Honor 10 dan P20. Perkara ini terjadi disebabkan oleh kehadiran dua kamera utama di bahagian atas panel hadapan Nova 3i ini.

Hadir dengan ketebalan 7.6 mm dan berat 168 gram, peranti ini agak selesa untuk dipegang. Namun, saya dapati peranti ini badan peranti ini agak licin dan mudah menggelongsor dari poket seluar tanpa disedari.

Antaramuka


Menggunakan antaramuka EMUI 8.2 dengan bersandarkan kepada Android Oreo 8.1, ia merupakan copy-paste sahaja daripada antaramuka yang digunapakai pada peranti Huawei Nova 3.

EMUI pada kali ini membawa beberapa bloatware seperti HiCare, Tips dan Z Camera. Selain itu, bagi mereka yang tidak menyukai paparan takuk, anda boleh memadamkannya melalui tetapan 'off notch'.



Anda juga boleh menetapkan sama ada ingin menggunakan talam aplikasi atau tidak. Caranya mudah sahaja, anda cuma perlu ke bahagian Setting>Display>Homescreen Style dan aktifkan App Drawer.

Bagi saya, saya lebih gemarkan penggunaan home screen yang standard kerana nampak lebih kemas dan mudah untuk dinavigasi. Huawei Nova 3i juga hadir dengan fungsi penggiliran imej wallpaper secara automatik, maka tidaklah anda bosan dengan wallpaper yang sama sahaja.



Sama seperti model Nova 3, peranti ini juga hadir dengan beberapa fungsi pintar bagi memudahkan kawalan peranti. Antaranya ialah  HiTouch, kawalan gerakan dan kawalan suara.

Spesifikasi Dalaman


Peranti ini menjadi yang pertama untuk menggunakan cip kelas pertengahan terbaru keluaran HiSilicon iaitu Kirin 710. Ia telah menjalankan tugas yang sangat baik untuk penggunaan biasa seperti keluar masuk aplikasi, menatal di antara tetingkap skrin dan menghidupkan peranti.

Pengalaman bermain permainan video seperti PUBG Mobile dan Need For Speed adalah sakadar berada di tahap memuaskan. Dengan tetapan grafik sederhana, kedua-dua permainan dapat dimainkan dengan lancar tanpa sebarang masalah.



Namun, sekiranya anda seorang pemain yang mementingkan kualiti grafik seperti saya, peranti Nova 3i ini bukan untuk anda. Bagaimanapun, harus diingat, peranti ini adalah sebuah peranti kelas pertengahan sahaja.

Bercakap mengenai grafik, Nova 3i hadir dengan unit pemprosesan grafik Mali-G51 MP4, yang juga merupakan GPU terkecil bagi paparan HD penuh 1080p setakat hari ini. Ia juga dibantu dengan memori 4GB bagi memastikan penggunaan yang lancar.

Untuk sistem nyahkuncinya pula, pengimbas cap jari dan pengesanan wajahnya dapat beroperasi dengan cukup pantas pengesan. Cuma sistem pengesanan wajah ini dijangkiti dengan masalah rabun malam, jadi gunakan pengimbas cap jari untuk nyahkunci pada suasana kurang cahaya.

Kamera




Huawei telah memperkenalkan siri Nova ini untuk menambat hati orang muda seperti saya. Sesuai dengan itu, mereka telah memastikan peranti dalam siri ini sentiasa hadir dengan keupayaan kamera yang terbaik.

Kamera utama peranti ini hadir dengan lensa berkembar 16MP + 2MP dengan bukaan aperture f/2.2. Ia juga tidak ketinggalan untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan seperti abangnya, Nova 3.


Perbezaan tona warna dapat dipaparkan dengan jelas



Imej yang diambil menggunakan fungsi HDR




 


Fungsi bokeh dilihat kurang tajam dan boleh diperbaiki



Imej yang diambil pada pengcahayaan rendah kurang memuaskan dengan noise kelihatan agak kasar


Selain itu, salah satu lagi keistimewaan yang ada pada peranti ini ialah kamera swafoto dwi-lensanya. Huawei Nova 3i hadir dengan lensa 24MP + 2MP dengan sensor yang mendalam.


Kualiti swafoto yang setaraf dengan standard yang kami tetapkan



Tanpa sebarang filter atau Beauty mode, imej pada suasana kurang cahaya masih mampu menampilkan wajah flawless saya :P


Rakaman video pada kamera peranti ini pula bagi saya adalah kurang baik berbanding peranti-peranti Huawei yang lain. Ia juga tidak hadir dengan sebarang sokongan penstabilan imej.

Prestasi Bateri


Dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3,340 mAh, kami agak berpuas hati dengan penggunaan dan prestasi yang ada pada bateri peranti ini. Saya telah menguji keupayaan bateri ini dengan bermain game dan menonton video di Youtube.

Pada 'malam pertama' saya bersama peranti ini, saya telah mengecas penuh peranti sebelum bermain permainan video selama hampir 90 minit dan mendapati bateri peranti masih lagi berbaki 82%.



Seterusnya, saya telah memainkan video secara loop melalui Youtube yang diakses menggunakan desktop site melalui pelayar Chrome sebelum melelapkan mata. Apabila saya bangun selepas 5 jam, bateri Nova 3i ini masih berbaki 33%.

Malangnya, Huawei Nova 3i ini tidak hadir dengan fungsi pengecasan pantas. Untuk mengecas semula peranti daripada 0% ke 100%, ia memerlukan masa sekitar 2 jam 30 minit pengecasan menggunakan alat pengecasan asal peranti dari dalam kotak.

Satu lagi perkara yang amat mengecewakan saya ialah, setiap kali ingin mengecas peranti, saya perlu memastikan arah bicu kabel mikroUSB adalah betul terlebih dahulu. Amat berbeza dengan port USB-C yang boleh dihubungkan melalui kedua-dua arah.

Keseluruhan




Sebagai rumusan, tidak salah untuk saya katakan bahawa peranti ini dengan mudah akan menduduki tiga tangga teratas bagi peranti kelas pertengahan dengan harga yang ditawarkan.

Dijual dengan harga RM 1,249 semasa dilancarkan bagi pasaran tempatan pada 19 Julai yang lalu, ianya boleh dianggap sebagai pesaing kepada peranti seperti Asus Zenfone 5 dan Vivo V9.

Akhir kata dari saya, Nova 3i adalah sebuah peranti yang berbaloi untuk dimilik.