Huawei Nova 3 - Peranti Zuhud Yang Mengikut Resmi Padi

Huawei Malaysia baru sahaja memperkenalkan peranti kelas pertengahan terbaru mereka, Huawei Nova 3 baru-baru ini. Ramai yang tertanya-tanya kenapa Huawei melancarkan model Nova 3e terlebih dahulu sebelum Nova 3. Sebenarnya Nova 3e merupakan Huawei P20 Lite yang dijenamakan semula bagi pasaran Asia Tenggara.

Dilancarkan di Malaysia sehari selepas majlis pelancaran pertamanya di China, peranti ini diklasifikasikan sebagai peranti kelas pertengahan oleh Huawei. Keputusan berkenaan telah menimbulkan beberapa persoalan kepada pengguna telefon pintar dan peminat Huawei terutamanya.

Layak ke peranti ini dikelaskan pada kelas pertengahan? Untuk mengetahuinya, di sini kami akan kongsikan pengalaman kami selepas menggunakan peranti Huawei Nova 3 ini untuk penilaian kita bersama.

Rekaan Luaran


Rupa paras luaran bagi peranti Huawei tidak perlu dipersoalkan lagi. Sejak pelancaran Huawei P20 Pro, mereka sering menggunakan reka bentuk yang ada pada edisi Twillight peranti tersebut pada keluaran-keluaran mereka yang seterusnya.



Bermula dengan Honor 10 sehingga Nova 3 ini, Huawei telah menggunapakai panel belakang dengan rekaan kaca yang mempunyai dua tona warna. Namun, berbeza dengan Honor 10, warna panel belakang Huawei Nova 3 tidak mengalami perubahan ketara walaupun dilihat dari sudut yang berlainan.

Pada bahagian panel belakang peranti ini, Huawei telah memasang kamera dwi-lensa pada sudut kiri sebelah atas peranti yang disertakan dengan tulisan 'AI CAMERA' di bawahnya. Lampu flash berada di tengah-tengah di antara kamera dan tulisan berkenaan. Pengimbas cap jari pula diletakkan di bahagian tengah peranti selari dengan lampu flash.

Untuk pengetahuan pembaca, Nova 3 hadir ke pasaran Malaysia dengan tiga variasi warna iaitu Iris Purple, Red dan Black. Peranti yang kami gunakan ialah berwarna Iris Purple. Selain tiga warna tersebut, peranti ini juga mempunyai pilihan warna lain yang tidak memasuki Malaysia iaitu Blue dan Gold.

Beralih ke bahagian hadapan pula, Nova 3 ini masih lagi mengekalkan rekaan takuk pada paparan hadapan. Hadir dengan skrin IPS LCD 6.3 inci, peranti ini terasa agak besar untuk dipegang dan sukar untuk dikendalikan dengan menggunakan sebelah tangan.



Sedikit mengecewakan apabila skirn peranti ini tidak mendapat perlindungan daripada panel Gorilla Glass. Manakala, pembesar suara, bicu audio dan port sambungan USB Type-C untuk pengecasan bateri pula dipasang pada bahagian bawah peranti.

Antaramuka


Huawei nampaknya masih lagi belum menunjukkan sebarang tanda-tanda awal untuk menggunakan sistem Android tulen. Mereka masih lagi kekal dengan sistem antaramuka EMUI 8.2 yang berlandaskan Android 8.1. 

Kami dapati tidak banyak perbezaan antara sistem EMUI 8.1 yang digunapakai oleh Honor 10 dengan EMUI 8.2 kali ini. Pengguna boleh menetapkan untuk menggunakan app-drawer atau tidak dengan mengubah tetapan sistem paparan.

Kami lebih sukakan paparan standard sahaja tanpa app drawer kerana ia nampak lebih kemas dan minimal. Sama seperti kebanyakan peranti keluaran terbaru, pengguna Nova 3 juga boleh menetapkan untuk penggiliran imej wallpaper secara automatik.



Agak mengecewakan apabila masalah bingkai hitam yang terdapat pada paparan video skrin penuh di Youtube masih lagi menghantui peranti ini. Masalah yang sama turut dihadapi oleh peranti Honor 10 dan beberapa peranti lain sebelum ini. Ia perlu diselesaikan segera bagi membolehkan fungsi Full-View digunakan sepenuhnya.

Seperti biasa, anda hanya perlu swipe dari atas ke bawah untuk mengakses pusat kawalan dan notifikasi yang diterima. Manakala jika anda swipe ke tetingkap paling kiri pada paparan home screen pula, anda akan dapat melihat ruangan shortcuts dan widgets yang boleh ditetapkan mengikut selera pengguna.



Antara fungsi menarik lain yang terdapat pada peranti ini ialah HiTouch, kawalan gerakan dan kawalan suara. Sebagai contoh, pengguna boleh menjawab panggilan menggunakan arahan suara atau senyapkan panggilan dengan meletakkan skrin hadapan peranti ke bahagian bawah.

Spesifikasi Dalaman


Menggunakan cip yang sama dengan kebanyakkan peranti kelas perdana Huawei sebelum ini menyebabkan kami meletakkan tanda aras yang agak tinggi pada prestasi peranti ini. Selepas menggunakannya, kami dapati peranti ini berjaya mencapai standard yang ditetapkan.

Sudah menjadi tradisi kami di Wiser dalam menguji prestasi peranti, permainan video akan digunapakai sebagai bahan uji kaji. Boleh kami katakan peranti ini dapat menjalankan permainan PUBG Mobile dan Real Racing 3 dengan cemerlang, walaupun tidak mencapai tahap sempurna.

Nova 3 hadir dengan cip Kirin 970 dengan binaan lapan teras, iaitu 4 teras 2.4 GHz Cortex-A7 bagi penggunaan keras dan 4 teras 1.8 GHz Cortex-A53 untuk penggunaan ringan. Manakala bagi unit pemprosesan grafik pula, ia disokong oleh sistem Mali-G72 MP12.

Ia dibantu dengan memori sebesar 6GB RAM yang dapat memastikan proses operasi peranti dapat dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Peranti ini menerima sokongan GPU Turbo bagi memberikan pengalaman bermain yang lebih baik.



Bagi penggunaan sosial media dan tontonan video pula, kami dapati tiada masalah dari segi lagging secara amnya. Namun sekiranya digunakan secara berterusan untuk tempoh lebih satu jam, prestasi peranti akan sedikit terkesan dan suhu peranti juga akan meningkat.

Bercakap berkenaan sistem nyahkuncinya pula, peranti ini boleh dinyahkunci menggunakan pengesanan wajah dan pengimbas cap jari. Pengesanan wajah pada suasana pengcahayaan rendah juga kami dapati agak baik namun tidak sesuai digunakan di kawasan luar pada waktu malam.

Prestasi Kamera


Huawei Nova 3 menggunakan gabungan dwi-lensa pada kedua-dua kamera utama dan swfotonya. Pada kamera utama, peranti ini hadir dengan lensa 16MP f/1.8 dan 24MP f/1.8. Ia juga disokong dengan fungsi kecerdasan buatan bagi memberikan anda hasil gambar yang lebih cantik dan jelas.


Tona warna yang nampak lebih jelas dan terang dapat dihasilkan



Imej bokeh kelihatan agak tajam dan berfungsi baik


Menggunakan kamera swafoto dwi-lensa 24MP + 2MP, kualiti imej swafotonya tidak perlu dipersoalkan lagi. Ia turut menyokong fungsi AI Beauty Mode bagi memberikan imej wajah yang flawless kepada pengguna. 

Tangkapan imej pada waktu malam juga tidak terlalu mengecewakan walaupun noise kelihatan agak tebal


Ia juga hadir dengan 5 fungsi pengcahayaan yang berbeza iaitu Soft, Butterfly, Split, Stage dan Classic Lighting. Ia berfungsi dengan baik terutama semasa menggunakan kamera swafoto. Kualiti yang ada pada kamera hadapan peranti ini sesuai dengan slogan AI Selfie Superstar yang digunapakai.

Peranti ini turut didatangi dengan fungsi Qmoji


Bagi rakaman video pula, peranti ini mampu merakam pada kualiti 4K@30fps atau 1080p@30/60fps. Ia juga disokong dengan fungsi penstabilan imej elektronik bagi meminimumkan kesan gegaran pada rakaman video yang diambil.

Keupayaan Bateri




Keupayaan bateri pada peranti ini bagi kami berada di tahap yang sederhana. Ia dapat bertahan lebih kurang satu hari dengan penggunaan normal namun gagal bertahan lama pada penggunaan kerap. Bermain permainan video, menonton video dan melayari laman media sosial, ia mampu bertahan dalam setengah hari penggunaan.

Bagaimanapun, masalah keupayaan bateri ini telah diselamatkan oleh sokongan fungsi pengecasan pantas Huawei Super Charge yang boleh mengecas sehingga 60% dalam masa 30 minit.

Keseluruhan


Kapsyen: Secara keseluruhan, Huawei Nova 3 ini boleh kami katakan kurang sesuai diletakkan pada kelas pertengahan. Setidak-tidaknya Huawei boleh klasifikasikannya sebagai peranti kelas perdana mampu milik. Kualiti kamera yang baik, menggunakan cip keluaran Kirin tercanggih yang ada di pasaran ketika ini dan beberapa fungsi premium yang lain cukup membuktikan peranti ini patut berada di kedudukan yang lebih tinggi.




Bagaimanapun, peranti ini tidak lah sempurna. Keupayaan bateri dan pengudaraannya mungkin boleh diambil kira sebagai kekurangan yang ada pada peranti ini. Selain itu, tiada perlindungan dari panel Corning Gorilla Glass juga mungkin menyebabkan Huawei mengambil keputusan untuk mengklasifikasikannya pada kelas pertengahan.

Namun,dijual dengan harga RM 1,899 semasa dilancarkan, ia merupakan antara peranti terbaik yang boleh didapati pada kadar harga yang sedemikian.

Berkaitan