Huawei Mulakan Khidmat Penghantaran Ke Rumah Dengan Pembelian Mate Xs

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung peningkatan jumlah kes COVID-19 di negara ini, HUAWEI telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan pelancaran jualan HUAWEI Mate Xs diteruskan seperti biasa pada 20 Mac ini. Langkah yang diambil adalah dengan memulakan perkhidmatan penghantaran VIP secara terus ke rumah.

Dengan mengambil kira kesihatan dan keselamatan sebagai keutamaan, perkhidmatan ini dilancarkan buat pertama kali di mana setiap pembelian HUAWEI Mate Xs melalui kedai jualan dalam talian akan menerima perkhidmatan penghantaran secara terus ke rumah.

Pelanggan boleh memilih sama ada untuk menerima HUAWEI Mate Xs secara penghantaran ke rumah atau menempah secara dalam talian dan kemudian mengambilnya di kedai jualan fizikal HUAWEI yang berhampiran.

Selain itu, penghantar barang juga akan memakai topeng muka dan mengikuti garis panduan yang ditetapkan sepanjang penghantaran dilakukan. Ia sebagai langkah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan terjamin.



HUAWEI Mate Xs dijana cip Kirin 990 5G dan didatangkan dengan engsel dan kualiti binaan yang lebih baik. Saiz penuh bukaan skrin bagi peranti ini adalah 8 inci OLED dengan resolusi 2940 x 2200 pixel. Peranti ini menawarkan satu konfigurasi memori iaitu 8GB RAM dan storan dalaman 512GB yang turut menyokong kad microSD.

Peranti ini ditawarkan dengan harga RM11,111 bermula 20 Mac ini. Selain menerima sepasang Huawei Freebuds 3 bernilai RM 679 dan Envelope Leather Case Mate Xs bernilai RM 299, pelanggan akan turut menerima satu kali penggantian skrin dalam tempoh 3 bulan pembelian.