Huawei Mengaku Markah Penanda Aras Honor Play Dimanipulasi, Punya Alasan Tersendiri Untuk Melakukannya

Penipuan atau manipulasi memang seringkali berlaku dalam dunia pemasaran tanpa mengira industri. Industri teknologi dan maklumat juga tidak terlepas daripada gejala ini. Yang terkini, Huawei telah dikesan mengubah keputusan penanda aras bagi peranti keluaran Honor iaitu Honor Play.

Kredit : Tech4Geeks


Menurut laporan Anandtech, Huawei mengakui telah melakukannya namun turut mendakwa bahawa mereka bukanlah satu-satunya pembangun yang melakukan 'penipuan' dalam proses pemasaran peranti.

Malah, mereka turut mempunyai alasan tersendiri mengenai perkara ini. Menurut Huawei, mereka sentiasa akan lebih mementingkan pengalaman pengguna yang baik daripada markah penanda aras yang tinggi.

Menurut mereka, peranti Huawei dan Honor menggunakan teknologi terkini seperti AI yang akan mengoptimumkan prestasi peranti termasuk perkakasan termasuk CPU, GPU dan NPU mengikut kesesuaian.



Sebagai contoh, apabila perisian peranti Huawei mengesan aplikasi penanda aras, ia akan mengaktifkan ''Performance Mode" secara automatik. Ia sekaligus akan mengoptimumkan prestasi peranti ke tahap terbaik.

Akhirnya, kepuasan dalam penggunaan juga yang lebih penting berbanding markah penanda aras. Bagaimana pula dengan anda? Adakah markah penanda aras ini mempengaruhi keputusan anda dalam membeli peranti terbaik? Kongsikan bersama kami di ruang komen.

 

Sumber