Huawei MatePad Pro 5G - Tablet Berkuasa Lebih Elegan Dengan Bezel Nipis


Jika anda ingat lagi dengan MatePad Pro yang dilancarkan pada November tahun lalu di China, ia merupakan tablet berkuasa berspesifikasi tinggi dari Huawei. Bersama-sama dengan pelancaran Mate Xs, Huawei juga turut memperkenalkan varian 5G untuk tablet itu iaitu MatePad Pro 5G.









Sudah semestinya untuk menyambungkan kepada rangkaian 5G ia menggunakan cip Kirin 990 5G dengan modem terbina. Selain itu, tablet juga menyokong pengecasan tanpa wayar lebih baik pada 27W. Sebagai perbandingan, MatePad Pro versi biasa hanya selaju 15W sahaja.





Tablet mempunyai paparan 10.8 inci dengan rekaan bezel nipis. Ia beresolusi 2560 x 1600 dengan 280 PPI yang juga turut menyokong 100% piawaian warna DCI-P3.









Dengan bezel senipis 4.9mm, ia menjadikan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 90%. Dari segi nilai, ia lebih hebat berbanding iPad Pro (84.6%) dan juga Galaxy Tab S6 (83%).





Tablet juga dimuatkan dengan 4 pembesar suara di sekelilingnya untuk pengalaman audio yang imersif. Untuk panggilan video, rakaman audio, ataupun penggunaan pembantu maya, MatePad Pro 5G dilengkapi dengan 4 mikrofon dengan sensitiviti jarak jauh.









Terdapat 13MP kamera belakang dan juga kamera swafoto dengan 8MP. Dari segi memori, terdapat 2 pilihan iaitu 6GB/128GB dan 8GB/256GB.





Untuk bateri, tablet dimuatkan dengan 7250mAh dengan pengecasan pantas 40W. Ia juga turut menyokong pengecasan tanpa wayar berbalik.









Memandangkan tablet ini khusus disasarkan untuk tujuan produktiviti, terdapat 2 aksesori yang disertakan. Ia adalah sebuah papan kekunci dan sebuah stylus M-Pencil.









Papan kekuncinya mempunyai kedalaman taip 1.3mm manakala stylus tersebut menyokong sehingga 4,000 tahap tekanan.









Huawei juga turut memperkenalkan fungsi antaramuka kustom untuk tablet ini. Ia dinamakan App Multiplier dan berfungsi sebagai ciri menjalankan 2 jenis aplikasi bersebelahan dalam satu-satu masa.









App Multiplier menyokong sehingga lebih dari 3000 aplikasi dengan sokongan pembangun aplikasi melalui Open UIKit. Tablet ini secara dasarnya menjalankan EMUI 10 berasaskan Android 10.





Tablet Huawei MatePad Pro 5G ini dijual bermula pada harga 799 euro (~RM3663) dalam 2 pilihan warna iaitu biru dan oren dengan kemasan kulit vegan.






Berkaitan