Huawei MateBook D: Rekaan Ringkas Dan Mudah Dibawa Kemana Saja



Rekaan

Sekilas pandang, pasti ramai menyangkakan ini adalah MacBook dari Apple namun logo Huawei yang ditempatkan di bahagian belakang skrin jelas menunjukkan ini adalah ultrabook dari Huawei. Rekaan nipis MateBook D dengan ketebalan 16.9mm membuatkan ultrabook dari Huawei ini mampu memberikan nilai ekslusif kepada pengguna yang mahukan peranti kompak dan selesa untuk digunakan.



MateBook D menggunakan bahan aluminium sebagai bahan buatan untuk ultrabook mereka sekaligus membuatkan komputer riba ini sangat ringan untuk dibawa ke mana-mana. MateBook D mempunyai berat sebanyak 1.9 kg. Pilihan Huawei menggunakan aluminium adalah tepat kerana aliminium membantu proses penyejukan MateBook D yang cepat selain mengekalkan nilai elegan ultrabook ini.

Paparan

MateBook D mempunyai skrin paparan 15 inci yang menampilkan panel IPS yang beresolusi 1920 x 1080 piksel. Warna yang dihasilkan pula berada pada NTSC 45% colour gamut. Ia menghasilkan kecerahan sehingga 250 nits. Kemasan yang digunakan pula adalah matte membuatkan paparan tampak lebih sekata tanpa masalah silau pada kawasan yang terang.



Tahun 2018 menyaksikan rekaan skrin dengan bingkai nipis untuk kebanyakkan produk elektronik dan MateBook D tidak terlepas dari tren ini, MateBook D menampilkan sehingga 83% screen-to-body ratio.

Spesifikasi

Untuk bahagian pemprosesan perkomputeran, MateBook D ditawarkan dalam dua pilihan cip pemprosesan; Intel® Core™ i5 atau Core™ i7 generasi ke-7 dari siri U yang memfokuskan penjimatan tenaga. Untuk cip grafik pula, 2 pilihan berupa HD Graphics 620 untuk peranti yang menggunakan cip Intel® Core™ i5 atau NVIDIA GeForce 940MX untuk tetapan Intel® Core™ i7.



Tetapan memori untuk RAM pula adalah dalam bentuk 4GB/8GB/16GB DDR4 dan untuk ruang ROM pula adalah 128GB/256GB/500GB HDD.

Penggunaan MateBook D untuk kerja-kerja pemprosesan dokumen mahupun menonton filem adalah sangat baik dan cip Intel® Core™ siri U tidak sedikit pun memberikan masalah untuk tugasan seperti itu. Jangka hayat bateri untuk satu caj penuh juga adalah baik dan mampu bertahan sehingga seharian penggunaan.

Papan Kekunci



Pengalaman menggunakan papan kekunci MateBook D adalah memuaskan dan kepada mereka yang biasa menggunakan papan kekunci MacBook Pro, pengalamannya adalah mirip tetapi papan kekunci MateBook D lebih senyap berbanding MacBook Pro 2017.

Untuk butang multimedia pula, ia diletakkan sekali bersama butang f1-f12 dan untuk itu, pengguna perlu menggunakan butang fn untuk tugasan seperti menurunkan kecerahan skrin paparan atau volume. Korban sebegini perlu dilakukan bagi mengekalkan susun atur papan kekunci yang lebih kompak serta pergerakan tangan yang minima.

I/O

MateBook D menawarkan port yang banyak seperti satu USB type-C untuk tujuan pengecasan, HDMI, 1x USB 2.0, USB 3.0 dan bicu audio. Pengecasan menggunakan USB type-c memberikan kebebasan kepada pengguna dari segi penggunaan pengecasan dan juga menggunakannya untuk memindahkan data dari cakera mudah alih.



MateBook D turut menawarkan power button yang bertindak juga sebagai pengimbas cap jari. Menariknya, pengimbas cap jari ini berfungsi normal walaupun MateBook D tidak dihidupkan. Pengguna akan terus masuk ke sistem operasi tanpa perlu mengesahkan identiti melalui cap jari.



Kata Akhir

Secara keseluruhan, pengalaman menggunakan MateBook D ini adalah lebih baik daripada biasa kerana pengalaman yang ditawarkan adalah sangat selesa dan respon yang sangat baik. Walaupun tidak menawarkan spesifikasi yang tinggi berbanding ultrabook lain di luar sana, MateBook D menghadirkan penggunaan yang sangat baik serta tidak mengecewakan.

MateBook D sangat sesuai kepada golongan pekerja di pejabat dan juga pelajar IPT yang sedang mencari peranti komputer riba moden yang memberikan pengalaman yang baik kepada pengguna.

Untuk sesiapa yang berminat untuk mendapatkan MateBook D, layari laman  Huawei dengan harga jualan RM 2,999.00