Huawei MateBook D 14 Edisi Intel Hadir Buat Pasaran Tempatan Pada Jumaat Ini

Huawei Malaysia hari ini telah mengumumkan kehadiran komputer riba MateBook D 14 edisi Intel buat pasaran tempatan yang akan tersedia bermula Jumaat ini.

Seperti namanya, MateBook D14 kali ini dikuasakan cip pemproses Intel i5-10210U berbanding sebelum ini menggunakan cip AMD Ryzen.

Untuk grafik, ia dilengkapi Nvidia GeForce MX250 yang sudah memadai bagi pengguna yang ingin melakukan kerja-kerja penyuntingan gambar dan video atau bermain permainan video.



Dari segi paparan, MateBook D 14 hadir dengan skrin bersaiz 14 inci beresolusi FHD 1920x1080 serta nisbah 16:9. Malah, paparannya diperakui TÜV Rheinland untuk mengurangkan pengeluaran cahaya biru.

Bagi konfigurasi memori, ia dilengkapi 8GB RAM dan storan dalaman 512GB SSD. Bateri pula dimuatkan 56Wh dan disokong pengecasan pantas menggunakan pengecas USB-C.



Tidak ketinggalan, pengimbas cap jari pada butang kuasa dan kamera web tersembunyi pada papan kekunci masih hadir pada MateBook D 14.

Terdapat dua pilihan warna yang boleh dipilih iaitu edgy Space Grey dan modern Mystic Silver.



Huawei MateBook D 14 edisi Intel ini dijual dengan harga RM3399 pada 26 Februari dan anda juga akan menerima hadiah percuma tetikus Huawei yang bernilai RM249.

Pembelian boleh dilakukan melalui kedai dalam talian Huawei atau di Shopee.

Sumber: Siaran Akhbar Huawei