Huawei Mate 40 Pro Ungguli Carta DxOMark, Mengalahkan Xiaomi Mi 10 Ultra Dengan 136 Mata

Huawei baru sahaja mengumumkan peranti mercu Siri Mate 40 dengan tiga model di bawahnya iaitu Mate 40, Mate 40 Pro dan Mate 40 Pro+. Terbaru, DxOMark telah berkongsi keputusan ujian kamera yang memperlihatkan Mate 40 Pro kini mengungguli carta DxOMark.

Ia sekaligus mengalahkan Xiaomi Mi 10 Ultra yang baru sahaja menduduki takhta pada Ogos lalu. Peranti ini telah berjaya meraih 136 mata berbanding Mi 10 Ultra dengan 133 mata.



 

Keputusan ujian tersebut turut memperlihatkan 140 mata bagi foto, 88 mata bagi zum serta 116 mata bagi video.


Kiri: Mate 30 Pro, Kanan: Mate 40 Pro


DxOMark memberi pujian pada julat dinamik dengan menggelarkannya sebagai "dynamic range monster". Ia juga mempunyai pencahayaan yang baik, serta mampu mengekalkan julat dinamik yang luas dalam pencahayaan yang rendah.


Kiri: Mate 30 Pro, Kanan: Mate 40 Pro


Kamera Mate 40 Pro turut menawarkan ketajaman autofokus, mod potret dengan bokeh yang cantik, butiran yang baik serta tahap hingar yang rendah dalam gambar yang dirakam pada semua peringkat cahaya.

Menyentuh spesifikasi kamera, Mate 40 Pro dimuatkan dengan 4 lensa yang terdiri daripada 50MP RYYB f/1.9 (utama), 20MP f/1.8 (sudut lebar Cine), 12MP 7x zum optikal dengan OIS (periskop) serta lensa TOF 3D.

Sumber: DxOMark