Huawei Mate 30 Pro 5G Mencatat Mata Tertinggi Dalam Carta Kamera DxOMark

Ranking Dxomark sentiasa menjadi rujukan para pengguna dalam memilih peranti yang mempunyai keupayaan kamera yang terbaik. Ia juga tidak kurang dengan beberapa kontroversi dan kritikan yang melanda syarikat tersebut.



Terbaru, Huawei Mate 30 Pro 5G berjaya memperoleh skor sebanyak 123 mata dalam ranking kamera telefon pintar Dxomark. Ia merupakan skor tertinggi dalam ranking tersebut dengan menewaskan juara bertahan iaitu Huawei Mate 30 Pro dan Xiaomi CC9 Pro Premium Edition yang mendapat skor sebanyak 121 mata.

Menurut Dxomark, Huawei Mate 30 Pro 5G mempunyai kualiti imej dan prestasi kamera yang sama seperti Huawei Mate 30 Pro. Namun, terdapat sedikit penambahbaikan dari segi keupayaan zum, imej bokeh dan “night mode”.



Manakala bagi kamera sudut ultra lebar, ia hanya mendapat skor sebanyak 30 mata berbanding Huawei Mate 30 Pro yang mendapat skor 34 mata. Ia disebabkan oleh penggunaan “anti distortion algorithm” yang menyebabkan imej berkenaan tidak mempunyai lebar yang luas.

Dari segi zum, ia masih tidak mampu menandingi keupayaan Huawei P30 Pro dan Xiaomi CC9 Pro Premium Edition. Namun, menurut Dxomark, ia merupakan antara peranti terbaik bagi kategori tersebut.

Huawei Mate 30 Pro 5G mendapat skor sebanyak 102 mata bagi rakaman video dan ia menyamai skor yang diperoleh iPhone 11 Pro Max dan Xiaomi CC9 Pro Premium Edition. Ini menjadikannya antara peranti terbaik dalam rakaman video dan ia boleh merakam video dalam kualiti 4K 60fps.



Dengan mencatat mata tertinggi dalam ranking Dxomark, kedudukan Huawei Mate 30 Pro mungkin akan tergugat dengan pelancaran siri Samsung S11 yang dijangka hadir dengan lensa kamera 108 MP generasi kedua.

Sumber : Dxomark