Huawei Mate 30 Dan Mate 30 Pro Dilancarkan Di Malaysia, Harga Jualan RM2799 Dan RM3899

Peranti yang cukup popular ketika ini bukan sahaja kerana mempunyai sejumlah ciri-ciri menarik padanya malah turut disekat daripada menggunakan perkhidmatan mudah alih dari Google, siri Huawei Mate 30 akhirnya muncul rasmi di Malaysia hari ini.

Melalui acara perasmian yang berlangsung sebentar tadi, Huawei Malaysia telah mengumumkan ketibaan dua model flagship terbaru mereka iaitu Huawei Mate 30 dan Huawei Mate 30 Pro.



Secara ringkasnya, versi Pro hadir dengan skrin paparan 6.53 inci Flex OLED, cip pemprosesan Kirin 990, RAM 8GB dengan storan dalaman 256GB.

Bahagian kamera pula menampilkan kuad kamera terdiri daripada 40MP+40MP+8MP+lensa 3D manakala kamera hadapan ditugaskan kepada lensa 32MP.

Bakal menjalankan sistem antaramuka EMUI 10 berasaskan Android 10, ia akan dijana dengan bateri berkapasiti 4500mAh bersama-sama teknologi pengecasan pantas Huawei SuperCharge 40W sementara pengecasan tanpa wayar berdaya 27W.

Sebuah lagi model iaitu Mate 30 pula didatangkan dengan skrin paparan 6.62 inci Rigid OLED, cip pemprosesan Kirin 990 dengan padanan memori 8GB/128GB. Turut mempunyai tetapan kuad kamera tetapi berbeza pada lensa ultra lebar (40MP+16MP+8MP+lensa 3D). Fungsi rakaman hadapan digalas oleh kamera 24MP.

Mate 30 dibekalkan dengan bateri 4200mAh yang juga mempunyai daya pengecasan pantas sama seperti model Pro.

Harga jualan rasmi untuk Huawei Mate 30 adalah RM2799 dan Huawei Mate 30 Pro diletakkan pada nilai RM3899.



Namun siri Mate 30 akan hanya ditawarkan kepada pengguna setia bermula 3 oktober pada pukul 2 tengahari.

Melalui Exclusive Ownership Campaign, pembeli bakal menerima aksesori menarik seperti DJI Osmo Mobile 3, Huawei PU Back Casing, Huawei Wireless Car Charger serta Hua wei Care ( tambahan 1 tahun waranti+ waranti untuk skrin selama 6 bulan) dan kesemua ini bsernilai RM 1155.

Turut sama diumumkan pada pelancaran ini adalah kolaborasi dengan jenama-jenama popular dalam memberikan kelebihan kepada pengguna seperti diskaun, promosi dan sebagainya.

Pihak Huawei tidak mengumumkan bila ia akan dipasarkan secara rasmi untuk pengguna biasa.

Namun dengan ketiadaan Google PlayStore, anda mungkin boleh membelinya untuk dijadikan sebagai sebuah kamera digital dengan fungsi telefon pintar yang lain.