Huawei Mate 20 Sah Dikuasakan Dengan Cip HiSilicon Kirin 980

Setelah beberapa kali berlegar di dunia internet, akhirnya Huawei telah mengesahkan bahawa siri Mate 20-nya akan didatangkan bersama cip terbaru keluaran HiSilicon, Kirin 980. Ia diumumkan melalui satu kenyataan media hari ini(17 Ogos).

Kenyataan media itu menggunakan perkataan 'siri' lantas membangkitkan ura-ura bahawa kesemua model Mate 20 termasuk Pro dan Lite. Bagaimanapun, ia masih dipersoalkan kerana edisi Mate Lite biasanya hadir dengan spesifikasi yang lebih rendah berbanding model biasa dan Pro.



Huawei juga mendakwa bahawa cip ini adalah merupakan cip 7nm untuk telefon pintar yang pertama dilancarkan ke pasaran. Mereka dijangka akan memperkenalkan siri Mate 20 ini pada bulan Oktober tahun ini.

HiSilicon Kirin 980 didakwa 20% lebih pantas dan 40% lebih efisyen berbanding cip sebelumnya, Kirin 970. Cip berkenaan digunakan oleh kebanyakan peranti perdana keluaran Huawei seperti P20 Pro, Mate RS dan Mate 10 serta beberapa peranti Honor seperti Honor View 10, Honor 10 dan Honor Play.

Huawei dijangka akan memperkenalkan cip berkenaan semasa acara IFA di Berlin yang akan diadakan tidak lama lagi. Mungkin kita akan mendengar spesifikasi lengkap cip Kirin 980 ini pada acara itu nanti.

 

Sumber