Huawei Mate 20 Hampir Pasti Dilengkapi Android Pie Dari Dalam Kotak

Android 9 atau Pie telah dilancarkan beberapa minggu lalu dengan Google Pixel menjadi yang terawal menerima sistem operasi terbaru berkenaan. Sehubungan dengan itu, beberapa pengeluar juga telah mengumumkan peranti-peranti mereka yang akan menerima Android Pie dalam masa terdekat.

Bercakap mengenainya, Huawei dijangka akan memperkenalkan peranti pertama mereka dengan sistem Android Pie dari dalam kotak melalui siri Mate 20-nya. Siri ini dilaporkan akan diperkenalkan pada Oktober ini, di mana tiga model bakal dilancarkan iaitu Mate 20, Mate 20 Pro dan Mate 20 Lite.

Kredit : Nashville Chatter


Huawei dikatakan telah pun memperolehi sijil daripada Eurasian Economic Commission(EEC) bagi model ini. Maklumat berkenaan persijilan ini telah didedahkan oleh Nashville Chatter dalam salah satu kiriman mereka. Namun, pensijilan itu hanya menyebut berkenaan peranti Mate 20 Pro dan Mate 20 sahaja tanpa Mate 20 Lite. Ia sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai model tersebut.

Selain daripada Android Pie, Mate 20 dan Mate 20 Pro juga hampir pasti akan menjadi peranti pertama Huawei yang akan menggunakan cip terbaru HiSilicon, Kirin 980. Bagaimanapun seperti biasa, model Mate 20 Lite dijangka akan menggunakan sistem cip yang lebih rendah.

Sebelum ini, terdapat ura-ura yang menyatakan bahawa siri ini akan diperkenalkan semasa acara IFA 2018 yang akan diadakan di Berlin bermula minggu hadapan. Namun, dengan laporan terbaru ini, kita mungkin terpaksa menunggu lebih lama untuk melihat kemunculan siri Mate 20 yang dinanti-nantikan ini.

 

Sumber