Huawei Mate 10 Pro Warna Merah Jambu Emas Akan Dijual 8 Februari Ini

Satu lagi variasi warna bagi model Huawei Mate 10 Pro bakal ditawarkan untuk peminat tempatan bersempena dengan kedatangan Hari Kekasih tidak lama lagi.

Huawei Mate 10 Pro dengan kemasan warna merah jambu emas (Pink Gold) boleh mula dibeli pada 8 Februari ini dan bersama-sama dengannya, para pembeli berpeluang memenangi hadiah berupa Huawei Watch edisi Swarowski yang bernilai RM2299.



Difahamkan, sesudah membeli Huawei edisi terhad Hari Kekasih itu, pembeli boleh mengambil bahagian dalam pertandingan di laman Facebook Huawei.

Pembeli perlu menunjukkan kasih sayang kepada orang yang tercinta sama ada dengan membuat ucapan, lukisan, atau apa-apa jua cara menarik, dan perkongsian paling banyak mendapat like akan dinobatkan sebagai pemenang pada 14 Mac hadapan. Pertandingan itu akan berlangsung dari 8 Februari sehingga 12 Februari.

Huawei Edisi Hari Kekasih ini hanya berbeza dari segi warna sahaja sementara spesifikasi bawaannya masih sama. Kuantiti yang ditawarkan adalah terhad dan ia dijual pada harga RM3099.

Spesifikasi ringkas Huawei Mate 10 Pro:

  • Skrin paparan 6 inci dengan nisbah 18:9

  • Cip pemprosesan Kirin 970

  • RAM 6GB

  • Storan dalaman 128GB

  • Dwi kamera utama 20MP (lensa hitam putih) dan 12MP (lensa warna)

  • Kamera swafoto 8MP

  • Bateri berkapasiti 4000mAh

  • Dioperasikan dengan Android 8.0 Oreo

  • Pensijilan IP67: kalis air dan habuk


Sumber: Lowyat.net